Isu kuarters guru terbiar bakal ditangani: Maszlee

438684
438684
A
A
A

KLUANG - Kementerian Pendidikan akan meneruskan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk kerajaan negeri dan swasta dalam usaha menangani isu kuarters guru terbiar di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sehingga kini kementeriannya mempunyai 50,257 kuarters guru di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 33,893 unit atau 67.44 peratus sedang diduduki sementara manakala 16,364 unit atau 32.56 peratus merupakan kuarters kosong.

"Daripada 16,364 unit kuarters kosong tersebut sebanyak 6,302 unit berada dalam keadaan yang baik dan boleh diduduki, manakala sebanyak 10,062 unit berada dalam keadaan yang rosak dan tidak boleh dihuni. Bagi tahun 2019 kami akan memberi keutamaan penyelenggaraan kepada kuarters yang berpenghuni.

"Walau bagaimanapun, kementerian turut menjalankan pembaikan kuarters kosong yang mempunyai permintaan berdasarkan permohonan dan keutamaan skop yang disyorkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya dapat dibuat pengisian, namun masih tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Transformasi Minda Anak Muda Gugusan Belitong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Ulu Belitong, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Kokurikulum KPM, Dr Habibah Abdul Rahim; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Sallina Hussain dan Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Radzuwan Che Rose.

Maszlee berkata, sehingga 31 Mei lalu KPM telah menyalurkan sebanyak RM56 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kuarters berpenghuni termasuk 773 unit kuarters yang tidak berpenghuni.

Menurutnya, beliau sendiri akan memastikan supaya isu kelengkapan prasarana ini dapat diselesaikan segera secara menyeluruh, malah segala isu berkaitan kuarters guru di seluruh Malaysia juga akan segera diselesaikan untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau mengadakan mesyuarat berkala dengan barisan Exco Pendidikan negeri termasuk negeri dikuasai pembangkang baru-baru ini, dan berjaya menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang sangat meruncing terutama sekali di kawasan luar bandar iaitu kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Kali pertama dalam sejarah atas nama pendidikan dan atas hasrat agar masa hadapan anak-anak kita terjamin, semua Exco Pendidikan Negeri akan menggembleng usaha untuk menganjurkan pelbagai program terutama sekali kelas tambahan di negeri masing-masing bagi memastikan kelemahan ini diatasi," katanya.