Tindakan Koo Ham bela Paul Yong tak wajar

Khusairi dan Akmal
Khusairi dan Akmal
A
A
A

IPOH - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Perak menggesa Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, penampilan Koo Ham dalam membela Exco Kerajaan Perak, Paul Yong yang didakwa di mahkamah berkaitan kes rogol pembantu rumah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Menurutnya, sebagai Speaker DUN, Koo Ham seharusnya memperlihatkan keadilan dengan tidak memihak kepada mana-mana ADUN sama ada di dalam mahupun di luar dewan.

"Kita nampak dengan ketara bahawa Speaker DUN menjadi orang paling hadapan mempertahankan Paul Yong. Sepatutnya beliau perlu menjaga kredibiliti sebagai speaker yang tidak memihak kepada sesiapa.

"Jika beliau mahu terus membela Paul Yong, eloklah letak jawatan dan tumpu kepada kerja-kerja politik. Kita mahu individu yang benar-benar ada kredibiliti menjadi speaker," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Koo Ham yang membuat laporan polis mendakwa terdapat maklumat baharu di dalam siasatan kes rogol Paul Yong baru-baru ini.

Pada 22 Ogos lalu, Koo Ham berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa seorang saksi yang terlibat dalam kes Paul Yong itu telah menerima sejumlah wang RM100,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Rogol amah: DAP dakwa ada bukti baharu

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, Koo Ham tidak wajar merendahkan martabatnya dengan membuat laporan polis berkaitan kes rogol melibatkan Exco Kerajaan Perak itu.

Menurutnya, sepatutnya Koo Ham dan pimpinan DAP perlu memberi kepercayaan kepada mahkamah untuk membuat pengadilan terhadap Paul yang juga ADUN Tronoh itu.

"Dalam soal meminta ADUN mengisytihar harta kepada speaker, kami diminta menghormati institusi speaker tetapi nampaknya speaker sendiri tidak menghormati 'institusi' yang diamanahkan kepadanya.

"Pada saya, speaker wajar meletakkan jawatannya kerana telah menghina kemuliaan DUN dan memalukan anggota DUN bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga dari pihak pembangkang," katanya.

Mohd Khusairi berkata, saranan itu dibuat bagi membolehkan Koo Ham hanya menumpukan tugasnya selaku Penasihat DAP Perak tanpa was-was untuk membela Exco DAP yang menghadapi tuduhan merogol bukan atas jawatan Speaker DUN Perak.