Skuad para sapu lebih banyak emas

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SKUAD berbasikal trek para negara terus mempamerkan aksi cemerlang pada hari kedua Kejohanan Berbasikal Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara 2019 dan Kejohanan Trek 1 Para Malaysia 2019 apabila menyapu bersih pingat emas sesi pertama kejohanan itu hari ini.

Ketiga-tiga acara di Veldorom Nasional di sini yang diungguli adalah menerusi acara pecut berpasukan campuran C1-C5, tandem buta lelaki (B) dan tandem buta wanita (B).

Emas pertama diraih trio basikal para kebangsaan Mohd Najib Turano, Zuhairie Ahmad Tazmizi dan Mohamad Yusof Shaharuddin, yang beraksi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-C5, manakala Muhammad Khairul Niza, Mohd Ali dan jurumudi, Muhamad Khairul Adha Rasol turut menyumbang pingat emas dalam acara ujian masa kelas tandem buta (kategori B) dengan catatan masa 11.952s.

Pasukan para tandem buta wanita (B) juga tidak kurang hebatnya apabila meraih emas menerusi aksi cemerlang Nur Suraiya Muhammad Zamri dan jurumudi, Nurul Suhada Zainal dengan catatan masa 12.500s.

Sementara itu, pelumba berbasikal remaja dari Singapura, Elizabeth Liau Le Min membuat kejutan memenangi pingat emas pertamanya di kejohanan itu.

Remaja berusia 17 tahun itu meraih tempat pertama dengan mengutip 59 mata keseluruhan dalam perlumbaan mata bagi acara pecut dengan menewaskan pelumba negara, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli (39 mata) di tempat kedua dan Nur Alya Mohd Azli (10 mata) di tempat ketiga.

Elizabeth mengakui terkejut dan tidak menjangkakan sebarang kemenangan memandangkan ini adalah aksi pertamanya dalam perlumbaan basikal trek.

“Saya tidak tahu sama sekali apa yang dijangkakan tetapi hanya berharap dapat melakukan yang terbaik. Saya mendapat banyak sokongan daripada pasukan senior dan mereka banyak memberi tunjuk ajar,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Meskipun hanya mengambil masa sebulan untuk berlatih di trek, Elizabeth, yang sebelum ini biasa dengan acara lebuh raya, mengakui mendapat saingan sengit daripada lawannya.- Bernama