Aktifkan semula Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah

KJ minta kerajaan untuk mengaktifkan semula insentif Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.
KJ minta kerajaan untuk mengaktifkan semula insentif Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan PH mengaktifkan semula Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah bagi meringankan beban golongan pekebun kecil getah.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, golongan itu ketika ini terhimpit ekoran trend kejatuhan harga getah sehinggakan ada dalam kalangan mereka kehilangan hampir 60 peratus hasil pendapatan.

Katanya, ketika BN bergelar kerajaan sebelum ini, mereka beberapa kali mengaktifkan insentif berkenaan dengan bayaran 'one-off' sebanyak RM500 kepada pekebun kecil.

"Ia seperti yang pernah dibuat pada 2013, 2014 dan 2016 dengan peruntukan sebanyak RM492.4 juta," katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan BN juga telah melaksanakan beberapa bentuk bantuan dalam membantu nasib pengusaha kebun getah seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

"Menerusi kenyataan-kenyataan dibuat pemimpin kerajaan PH termasuklah ketika pembentangan Belanjawan 2019, saya difahamkan bantuan IPG akan dinaikkan dengan penetapan harga baru RM2.50 sekilogram berbanding RM2.20 ketika ini.

"Namun tiada lagi peruntukan bagi BMT bermula tahun hadapan. Ini bermakna, pekebun kecil tidak akan mendapat apa-apa bentuk bantuan apabila tidak boleh turun menoreh pada musim tengkujuh," katanya.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin turut menggesa kerajaan PH mengetepikan permainan politik 'kerajaan tiada wang' atau berterusan menyanyikan rentak 1MDB.

Artikel Berkaitan:

"(Sebaliknya) fokus membantu golongan ini. Ini realiti akar umbi," katanya.