Beri bantuan ikut kemampuan ahli Parlimen

Chean Chung (dua dari kanan) ketika siri kedua kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Politik di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.
Chean Chung (dua dari kanan) ketika siri kedua kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Politik di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang mahu memberi bantuan kepada kepada golongan susah dan memerlukan hendaklah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, sekiranya bantuan itu diberikan kepada semua pihak tanpa terhad menyebabkan gaji dan peruntukan ahli Parlimen sedia ada tidak akan mencukupi sekali gus cenderung kepada risiko rasuah.

"Kalau ada orang susah dan sakit, kita hulurkan bantuan itu melalui kemampuan sedia ada dari gaji dan peruntukan.

"Itu adalah wajib bantu cuma janganlah sehingga beratur panjang dengan alasan tak bayar bil api dan sebagainya.

"Gaji kita (ahli Parlimen) tak cukup nak bayar semua jadi benda-benda seperti ini cenderung kepada risiko rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas siri kedua kuliah umum bertajuk Rasuah Sebagai Masalah Politik di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.

Turut menjadi panel ialah Penyelidik Bersekutu Kehormat, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Bridget Welsh dan Pengurus Kanan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari manakala May Leong bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Chean Chung berkata, sebagai ahli Parlimen yang mempunyai idealisme untuk menjadi seorang pembuat dasar namun perlu mempunyai kesedaran memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.

"Jadi bagi saya adalah pendekatan membantu di samping memberi kesedaran kepada rakyat supaya mereka tahu di mana agensi untuk mereka minta bantuan yang berkaitan," jelasnya.