'Kembalikan BSH untuk golongan memerlukan'

Sebahagian ibu tunggal serta ahli-ahli PSM pada protes berkenaan.
A
A

IPOH - Kerajaan digesa untuk tidak mengurangkan pemberian skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan kurang berkemampuan di negara ini.

Gesaan itu dibuat berikutan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah digugurkan daripada Skim BSH ini.

Kalaichelvi
Kalaichelvi

Seorang ibu tunggal S Kalaichelvi 57 berkata, pemberian BSH perlu diteruskan demi membantu rakyat yang kini semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Ibu tunggal kepada tiga anak ini yang bekerja sebagai penoreh getah di Kampung Taman Lintang Sungai Siput berkata, pengguguran namanya daripada senarai penerima BSH dilihat memberikan kesulitan kepadanya untuk menampung kos perbelanjaan seharian.

“Anak perempuan saya sudah berkahwin manakala dua lagi anak lelaki saya berusia 34 tahun dan 31 tahun menghidap penyakit tibi.

“Untuk menampung kehidupan saya mengambil upah menoreh getah dan itulah yang menjadi punca pendapatan utama saya sekelurga.

“Oleh itu, saya sangat berharap untuk disenaraikan semula sebagai penerim BSH ini. Masih ramai lagi golongan susah yang memerlukan bantuan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Kalaichelvi berkata demikian setelah menyertai protes anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di hadapan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Ipoh berhubung pengguguran penerima BSH menerusi BR1M sebelum ini.

Jeyakumar
Jeyakumar

Pada protes berkenaan pengerusi PSM Pusat, Dr D Jeyakumar turut menyampaikan surat bantahan berhubung perkara berkenaan kepada pihak LHDN, Ipoh.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi ibu tunggal, SC. Selvarani 55 sangat berharap agar kerajaan menarik semula pengguguran berkenaan kerana ia telah banyak memberikan kesulitan kepada kehidupan sehariannya.

Selvarani
Selvarani

Selvarani berkata, seperti Kalaichelvi dia turut mengambil upah menoreh getah dan hasil daripada pekerjaannya itu digunakan sebagai perbelanjaan harian termasuk sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.

“Saya berharap bantuan ini dapat diberikan seperti biasa, tak payah gugurkan kami sebab memang kami perlukan bantuan ini.

“Saya harap perkara ini (bantuan) dapat diteruskan seperti biasa. Barang-barang sekarang semua mahal,” katanya.

Dalam pada itu Jeyakumar berkata, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan hari ini dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, dalam peningkatan kos hidup hari ini, bantuan-bantuan sedemikian perlu diteruskan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Wakil PSM ketika menyampaikan surat berkenaan kepada pihak LHDN Ipoh
Wakil PSM ketika menyampaikan surat berkenaan kepada pihak LHDN Ipoh

“Pada pendapat saya, bantuan-bantuan seperti ini tidak boleh dihentikan, perlu diteruskan. Seperti BSH, perlu kekal seperti sedia kala.

“Kerajaan perlu prihatin dengan nasib rakyat dan ini adalah mesej kita kepada mereka,” katanya.

Sementara itu pihak LHDN Ipoh memaklumkan bahawa surat berkenaan akan dipanjangkan kepada bahagian berkaitan untuk tindakan selanjutnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia