Kerajaan digesa perkenal undang-undang lindungi pekerja

Callistus
Callistus
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan segera memperkenalkan undang-undang yang akan menyediakan perlindungan sosial lebih besar bagi menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D’Angelus berkata, ini kerana kadar paras kemiskinan rakyat di negara ini lebih tinggi berbanding kadar pendapatan sebanyak RM2,208 sebulan atau AS$11 (RM49) seorang sehari yang dikeluarkan Bank Dunia pada 2020.

Beliau berkata, data Bank Dunia menunjukkan Malaysia mempunyai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak AS$27,607 (RM123,252) pada tahun 2019 yang meletakkan Malaysia dalam kurungan negara berpendapatan sederhana berdasarkan ukuran Bank Dunia.

“Soalan perlu ditanya sama ada isi rumah boleh mengekalkan taraf hidup yang layak, yang merupakan hak asasi manusia, dengan pendapatan RM2,208 sebulan, terutamanya di bandar yang besar?

“Jelas sekali, jawapannya adalah negatif. Ini bermakna bahawa insiden kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada data yang dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, bersempena dengan Hari Pekerja 2023, beliau menggesa kerajaan segera memperkenalkan undang-undang yang akan menyediakan perlindungan sosial lebih besar bagi menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Ujar Callistus, perlindungan itu merangkumi insurans dan faedah pengangguran, perlindungan dan hak kesatuan sekerja yang lebih luas, dan undang-undang yang lebih ketat yang mengawal pemberhentian pekerjaan.

“Selain itu, harus dikenakan tindakan yang serius ke atas pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara,” katanya.

Jelas beliau, usaha memperjuangkan perkara itu diyakini mempunyai harapan memandangkan pelan reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap negara.

“Kini tiba masa untuk bertindak dan melaksanakan transformasi Malaysia demi kepentingan semua rakyat.

“Pada tahun depan, diharapkan lebih ramai pekerja akan meraikan sambutan Hari Buruh pertama yang boleh mereka ‘gembira’. Ia perlu dipercepatkan, dan tidak lagi perlu membuang masa dalam usaha mengembalikan keadilan kepada pekerja Malaysia.