Kerajaan digesa tangani isu majikan manipulasi pekerja
SHAH ALAM - Pas Selangor menggesa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang memanipulasi pekerja terutama bagi sektor ekonomi gig.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pekerja dalam sektor itu seperti penghantar p-hailing terpaksa bekerja dari 10 hingga 12 jam sehari bagi mendapat upah setimpal.
"Selain itu, sistem percukaian yang dilihat membebankan golongan pekerja perlu dikaji semula dan tidak berat sebelah dengan keuntungan sektor swasta.
"Golongan pekerja wajar diberi penghormatan oleh pihak kerajaan dan majikan atas pengorbanan dan komitmen cemerlang mereka selama ini yang sanggup berjauhan dengan keluarga untuk berhijrah ke Lembah Klang semata-mata ingin mencari rezeki halal," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pekerja pada Isnin.
Beliau memberitahu, lebih 16 juta golongan pekerja sepenuh masa dan kontrak yang menyumbang kepada pembangunan serta kemakmuran ekonomi negara secara langsung.
"Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun bertujuan mengiktiraf sumbangan, keringat dan hak golongan pekerja," jelas beliau.
Sehubungan itu, katanya, Pas Selangor komited mewujudkan keadilan sosial, kesamarataan dan 'work life balance' yang lebih akomodatif dengan golongan pekerja terutamanya di negeri ini.