Zakir Naik: Selangor serah kepada polis

Amirudin (kiri) mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda berkenan merasmikan Avisena Womens and Children Specialist Hospital hari ini.
Amirudin (kiri) mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda berkenan merasmikan Avisena Womens and Children Specialist Hospital hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyerahkan kepada polis sepenuhnya berhubung larangan pendakwah Dr Zakir Naik untuk memberi ceramah di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara melibatkan keselamatan harus mendapat nasihat daripada polis.

"Perkara ini bergantung kepada polis untuk menentukannya. Kalau ia melibatkan isu keselamatan dan beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini, kita harus mendapat nasihat daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Avisena Womens and Children Specialist Hospital di sini.

Pada 20 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memaklumkan, Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk di media sosial.

Beliau berkata, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

“Satu arahan dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan baru-baru ini, yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.

“Apabila keluarnya arahan ini, semua Ketua Polis Negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan, bagi menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka supaya menolaknya,” katanya.

Artikel Berkaitan: