Cubaan Sundra Rajoo cabar hak dapat imuniti didengar 15 Oktober

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Okt ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan bekas Pengarah Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC), Datuk Prof Dr N Sundra Rajoo untuk mencabar haknya mendapat imuniti daripada apa-apa pertuduhan.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes dalam kamarnya di hadapan peguam K Shanmuga yang mewakili Sundra Rajoo dan Peguam Persekutuan M Kogilambigai bertindak bagi pihak Kementerian Luar, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Shanmuga berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan Sundra Rajoo untuk meminda satu kenyataan bagi memasukkan alasan tambahan untuk menyokong permohonan semakan kehakimannya.

"Pejabat Peguam Negara tidak membantah (kepada pindaan itu), jadi kenyataan itu dipinda. Kami cuma menambah beberapa alasan lagi," katanya.

Pada 23 Mei tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Sundra Rajoo untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar hak mendapat imuniti daripada sebarang pertuduhan.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Sundra Rajoo terhadap keputusan Mahkamah Tingggi pada 16 Mac tahun ini yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai hak untuk mendapat imuniti daripada sebarang pendakwaan.

Panel sebulat suara bependapat bahawa ini adalah kes yang sesuai untuk disemak Mahkamah Rayuan dan mengarahkan kes itu didengar di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi lain.

Sundra Rajoo, 63, yang mengetuai AIAC dari 2010 sehingga akhir tahun lalu memfailkan prosiding untuk semakan kehakiman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 4 Mac tahun ini untuk mendapatkan satu perintah bahawa beliau mempunyai imuniti sebagai seorang bekas pegawai tinggi AIAC atas apa-apa tindakan yang dilakukannya dalam kapasiti rasmi.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memohon satu perintah bagi menghalang Peguam Negara daripada mengenakan sebarang pertuduhan atau membawa apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah di Malaysia terhadapnya berhubung apa juga dilakukannya dalam kapasiti sebagai pengarah AIAC dan secara lebih khususnya berhubung sebarang tindakan atau peninggalannya sepanjang penggal perkhidmatan sebagai pengarah pusat itu yang berkait dengan hartanah, dana atau dokumen pusat berkenaan atau sebaliknya walaupun berkaitan dengan hal ehwal pusat berkenaan.

Beliau juga memohon satu perintah larangan untuk menghalang SPRM daripada menangkap, menahan, mengeluarkan sebarang waran atau lain-lain, atau sebaliknya untuk membawa sebarang prosiding kehakiman apa pun terhadap beliau berhubung apa juga dilakukannya dalam kapasiti sebagai pengarah AIAC, dan secara lebih khusus kepada apa-apa tindakan dan peninggalan sepanjang penggal perkhidmatannya sebagai pengarah pusat berkenaan berhubung hartanah, dana atau dokumen-dokumen pusat itu atau sebaliknya walaupun berkaitan hal-ehwal pusat itu.

Pada 26 Mac tahun ini, Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta, tiga tahun lalu. - Bernama