Keputusan kebenaran semakan kehakiman kes solar Rosmah, 22 Jun

Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jun depan bagi keputusan sama ada Rosmah boleh mendapat kebenaran dalam tindakan sivil bagi mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar. - Foto Bernama
Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jun depan bagi keputusan sama ada Rosmah boleh mendapat kebenaran dalam tindakan sivil bagi mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, menetapkan 22 Jun depan bagi keputusan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor boleh mendapat kebenaran dalam tindakan sivil bagi mencabar pelantikan (mendiang) Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar.

Ia turut menyentuh permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berhubung deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang dihadapinya, tidak sah serta batal.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan pihak Rosmah yang diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berhubung hujahan yang komprehensif itu.

“Selepas berbincang, kami memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan hujahan-hujahan berkenaan selain membaca otoriti perundangan dan rekod rayuan,” kata Hanipah yang bersidang bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Sebelum prosiding bermula, Hanipah berkata, walaupun Sri Ram telah meninggal dunia, namun mahkamah mendapati perkara itu mungkin mengandungi isu yang masih boleh didengar.

Beliau berkata, ia menyentuh mengenai fiat (surat kebenaran) Sri Ram yang didakwa oleh Rosmah selaku perayu, sebagai tidak sah, tidak teratur dan cacat.

“Pada pandangan kami, kematiannya tidak akan menjejaskan rayuan, saya percaya ia bukan akademik,” katanya.

Pada 24 Jun 2021, Rosmah memfailkan permohonan deklarasi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding penuh kes projek solar sejak 15 November 2018 adalah terbatal.

Beliau mohon dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Rosmah, 72, juga memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion melalui tiga surat fiat bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Bagaimanapun, Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun, meninggal dunia pada 29 Januari lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Isteri bekas Perdana Menteri itu berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Semasa prosiding, Shamsul menghujahkan bahawa Rosmah gagal mematuhi Perintah 53 kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang memperuntukkan permohonan untuk semakan kehakiman dibuat dengan segera.

Beliau berkata, had masa tiga bulan adalah peraturan yang mesti dipatuhi mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan semakan kehakiman.

“Perayu didakwa pada 15 November 2018 dan dia hanya memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun 2022.

“Terdapat kelewatan selama tiga tahun, tiga bulan dan 10 hari untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman, maka kami mohon kepada mahkamah agar rayuan itu ditolak dengan kos,” katanya.

Sementara itu, Akberdin menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi harus membenarkan lanjutan masa dalam pemfailan permohonan kebenaran itu dengan mengambil kira faktor keadilan terhadap anak guamnya.

“Kami berharap Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan untuk memberi kebenaran dan menghantar semula kes berbangkit ke Mahkamah Tinggi untuk hujahan substantif,” katanya.