JPJ kutip lebih RM15 juta menerusi JPJeBid sejak April lalu

Pengarah Pelesenan Kenderaan, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus (dua kiri) bersama Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman (tiga kiri) melancarkan bidaan Siri JTR melalui sistem JPJeBid.
Pengarah Pelesenan Kenderaan, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus (dua kiri) bersama Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman (tiga kiri) melancarkan bidaan Siri JTR melalui sistem JPJeBid.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip lebih RM15 juta hasil daripada Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang bermula sejak 15 April lalu.

Pengarah Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, jumlah tersebut merupakan kutipan hasil pelaksanaan sistem tersebut bagi Siri FC (Putrajaya) sehingga yang terbaru iaitu Siri SYD (Sabah).

"Kita telah laksanakan sebanyak 13 Siri bermula (Siri) FC sehingga SYD. Kita telah kutip sebanyak RM15,607,943 melalui penggunaan sistem JPJeBid.

"Johor adalah negeri yang keenam melaksanakan JPJeBid selepas FC (Putrajaya), VDN (Wilayah), KET (Kedah), PPC (Pulau Pinang), SYD (Sabah) dan JTR (Johor)," katanya pada sidang media di JPJ Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman.

Mohd Rusdi berkata, JPJ akan memperluaskan sistem tersebut ke negeri-negeri lain iaitu Pahang, Kelantan, Selangor, Perak, Sarawak, Terengganu dan Negeri Sembilan.

"Saya jangkakan, kita (JPJ) akan selesaikan pelaksanaan JPJeBid ini ke seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini. Itu sasaran kita.

"Ini untuk memudahkan pelanggan-pelanggan JPJ untuk mendapatkan nombor pendaftaran yang mereka ingini," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Johor lancar bidaan Siri JTR melalui JPJeBid

Beliau berkata, bagi negeri yang sudah melaksanakan sistem tersebut, tiada lagi sistem manual bagi digunapakai bagi menentukan keputusan nombor pendaftaran Siri seterusnya.

"Maknanya pembida perlu berurusan dengan sistem, kakitangan JPJ tidak akan campur tangan. Kalau dia (pembida) tidak menang (nombor pendaftaran diingini), berlaku atas diri sendiri.

"Saya percaya sistem ini sedikit sebanyak dapat memberi ketelusan, ringkas dan berteraskan 'user experience'," katanya.

Mohd Rusdi berkata, hasil tertinggi yang dikutip JPJ menerusi sistem JPJeBid adalah Siri FC (Putrajaya) iaitu RM3.1 juta, diikuti Siri VDV (Wilayah Persekutuan) RM1.5 juta dan Siri VDN (Wilayah Persekutuan) RM1.3 juta.

Sementara itu, Razali berkata, bagi bidaan menerusi JPJeBid Siri JTR dan seterusnya untuk Johor, JPJ Johor mensasarkan kutipan hasil berjumlah kira-kira RM1 juta.