VAR ubah landskap kemeriahan EPL

No Image Caption
A
A
A

LIGA Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 sudah pun menyingkap tirainya 10 Ogos lalu dengan penyandang juara Manchester City dan naib juara Liverpool terus menjadi pilihan menjulang kejuaraan EPL. Pada masa sama pencabar lain Tottenham Hotspur, Arsenal, Manchester United dan Chelsea tidak kurang melaungkan amaran keghairahan masing-masing.

Saingan musim ini tambah menarik apabila pertama kali Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang diaplikasikan dalam beberapa perlawanan berprofil tinggi termasuk Piala Dunia dan Liga Juara-Juara digunakan dalam EPL selepas ditangguhkan musim 2018/19.

Bak peribahasa Melayu, 'rumah siap, pahat berbunyi', pengendali juara Perisai Komuniti, Pep Guardiola secara terbuka menyifatkan VAR sebagai pembunuh keghairahan dunia bola sepak walaupun Manchester City ketika itu baru sahaja membaham West Ham United 5-0 di Stadium Olimpik London disaksikan seramai 59,870 penonton pada aksi pembukaan liga.

Biarpun aksi disifatkan kurang berprofil tinggi, namun apabila VAR mula digunakan, pengadil Mike Dean berusia 51 tahun itu bersama beberapa pembantu pengadil lain turut sama terkena tempias apabila dicemuh penyokong The Citizens. Penyokong mula bersorak - “Apa sebenar yang berlaku?” Beberapa jaringan pelawat dibatalkan setelah dirujuk VAR.

Drama VAR bermula apabila penjaring gol pelawat Gabriel Jesus dinafikan gol kedua setelah Raheem Sterling didapati berada dalam keadaan ofsaid ketika jaringan Jesus.

Selain itu, situasi Sergio Aguero ketika mengambil sepakan penalti sebanyak dua kali juga menimbulkan perbalahan pendapat walaupun sepakan pertama penyerang kelahiran Argentina itu diselamatkan, namun semakan VAR mendapati pemain pertahanan The Hammers, Declan Rice memasuki kotak penalti sebelum Aguero melakukan sepakan pertama.

Untuk kes Jesus ternyata ramai tidak berpuas hati berdasarkan jarak ofsaid menyebabkan pembantu Dean dipersalahkan kerana mahu menilai semula jaringan menggunakan VAR.

ReaksiTindakan pembantu Dean itu juga mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan bekas pemain dan penyokong bola sepak dengan bekas pertahanan Manchester United, Paul Parker berkata: “Saya tidak mahu ulas perkara ini kerana saya pernah katakan sebelum ini sebab ia sama sekali tidak masuk akal.”

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penggunaan VAR untuk 10 perlawanan pertama EPL musim ini dirujuk sebanyak 65 kali - Liverpool 4-1 Norwich City (sembilan semakan termasuk setiap gol - tiada bantahan); West Ham United 0-5 Manchester City (tujuh semakan termasuk setiap gol, dua keputusan dibantah; gol Jesus dibatalkan VAR selepas Sterling didapati ofsaid, penalti kali kedua Sterling selepas Rice masuk kotak penalti kali pertama); Tottenham 3-1 Aston Villa (tujuh semakan termasuk setiap gol, tiada bantahan; Crystal Palace 0-0 Everton (lapan semakan - tiada bantahan).

Burnley 3-0 Southampton (enam semakan termasuk setiap gol, tiada bantahan); Bournemouth 1-1 Sheffield United (enam semakan termasuk setiap gol, tiada bantahan); Watford 0-3 Brighton (enam semakan termasuk setiap gol, tiada bantahan); Leicester City 0-0 Wolves (lima semakan, satu keputusan ditolak gol pemain Wolves, Leander Dendoncker dinafikan VAR apabila jaringan itu dibatalkan kerana terkena tangan Willy Boly); Newcastle United 0-1 Arsenal (enam semakan termasuk setiap gol, tiada bantahan); Manchester United 4-0 Chelsea (lima semakan termasuk setiap jaringan, keputusan penalti untuk Manchester United dikekalkan).

Berbalik semula kepada rungutan, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich berusia 48 tahun itu menyifatkan ketidaktentuan dalam sistem VAR secara tidak langsung membunuh keseronokan jemaah.

“Secara semula jadi seseorang pemain boleh sahaja meraikan jaringan setiap kali selepas melakukan jaringan tanpa sebarang keraguan munasabah. Tapi dengan VAR selepas ini mungkin keghairahan akan hilang tidak hanya dalam jiwa pemain tetapi juga penyokong.

“Apapun pengurus, pemain dan penyokong perlu mempunyai mentaliti yang kuat apabila keputusan VAR tidak menyebelahi anda. Anda kena tenang dan kuat kerana VAR mengubah dinamik sesuatu perlawanan,” katanya.

Secara kesimpulannya pelaksanaan VAR pada saingan EPL akan terus menjadi perdebatan dalam perlawanan mendatang biarpun secara fitrahnya tidak dinafikan teknologi berkenaan membantu pengadil dan pegawai pertandingan daripada aspek ketepatan ketika membuat keputusan semasa perlawanan.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar