Manchester City kekal tenang

Pep Guardiola
Pep Guardiola
A
A
A

MANCHESTER City yang dalam pemburuan kejuaraan treble akan mengharungi jadual padat bermula minggu ini.

Namun situasi itu tidak membimbangkan pengendalinya, Pep Guardiola apabila menyifatkan pasukannya memahami intensiti setiap perlawanan dan ganjarannya.

"Ya, apa yang pasti ia berkaitan enam, mungkin tujuh perlawanan untuk semua berjuang untuk segala-galanya," kata Guardiola mengenai dorongan penuh pasukannya pada akhir musim.

Sebagai rekod, Manchester City hanya satu mata di depan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris dengan satu perlawanan di tangan iaitu menentang Everton di Goodison Park pada Ahad.

Dalam pada itu, Arsenal juga akan menentang Brighton pada hari sama.

“Saya percaya Arsenal akan berusaha memenangi tiga baki perlawanan mereka.

“Sejujurnya saya mahu mereka kehilangan mata ​​tetapi saya percaya mereka akan mendapat sembilan mata,” kata Guardiola.

City sebelum ini bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat penyandang juara, Real Madrid 1-1 dalam separuh akhir Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu.

Dalam pada itu, anak buah Guardiola juga akan menentang Manchester United pada perlawanan akhir Piala FA, 3 Jun depan.

"Kami bermain untuk semua pertandingan. Anda perlu melakukan pertukaran kemudiannya menyesuaikan diri segera. Terdapat empat perlawanan lagi dalam Liga Perdana Inggeris dan ia sangat penting. Ia mengingatkan kami bahawa nasib pasukan ini di tangan kami," kata pengendali dari Sepanyol itu.

Ditanya bagaimana pemainnya bangkit daripada keputusan seri yang meletihkan secara fizikal dan mental Selasa lalu, Guardiola berkata, kemenangan ke-10 liga berturut-turut telah membantu memotivasikan pasukan.

“Jika dalam perlawanan sebelum ini anda menang, secara mental pemulihan anda lebih cepat.

"Saya percaya manusia mempunyai sumber motivasi yang luar biasa untuk bergerak ke hadapan, itu yang pasukan kami teruskan.

“Penat itu situasi biasa, tetapi pada masa sama, jika keinginan anda tinggi, mental anda berada pada kedudukan yang betul, manusia itu boleh memacu tenaga yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Erling Haaland yang dipilih Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) mendapat pujian daripada Guardiola yang gembira prestasi konsisten mesin Manchester City tersebut.

“Saya amat gembira dengan pencapaian tersebut, dan tahniah kepada Erling Haaland,” katanya.

Pemain Norway itu telah menjaringkan 51 gol dalam semua pertandingan untuk City musim ini, dan rekod satu musim Liga Perdana Inggeris dengan 35 gol.