Kain rentang bantah tulisan jawi digantung depan sekolah

Gambar kain rentang membantah tulisan jawi dan seni khat yang dikongsi pengguna Twitter @TheUsopIbrahim menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Gambar kain rentang membantah tulisan jawi dan seni khat yang dikongsi pengguna Twitter @TheUsopIbrahim menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
A
A
A

GOMBAK - Beberapa sekolah jenis kebangsaan (SJK) di negeri ini dikesan menggantung kain rentang bagi menunjukkan tanda bantahan mereka terhadap pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat di sekolah itu.

Antara lokasi yang dikesan terdapat pemasangan kain rentang itu adalah di depan pintu SJK Tamil (SJKT) Batu Caves dan papan tanda jalan di Bandar Baru Bangi.

Gambar memaparkan dua individu menggantung kain rentang tertera ayat ‘Bantah. Kami dari pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru) SJK Tamil (Batu Caves) tidak menyokong dan tidak akan mengajar seni tulisan khat dan tulisan jawi dikongsikan seorang pengguna Twitter, @TheUsopIbrahim semalam.

Ayat dalam kain rentang ditulis dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan tulisan Tamil diulang ciapan sebanyak 2,613 dan menerima 1,287 tanda suka serta menerima pelbagai reaksi oleh pengguna Twitter.

Bagi @KerfuffleWaffle, dia tidak menyokong tindakan tersebut dan mendakwa kain rentang tersebut memalukan.

“Sebagai orang India saya tidak sokong ini, jika tulisan jawi diajar ketika saya sekolah, saya akan lebih gembira untuk mempelajarinya.

“Kain rentang seperti ini tidak menggambarkan orang India pada umumnya, kami selalu diajar untuk mengembangkan pengetahuan dan mempelajari budaya bangsa lain,” kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Gambar kain rentang menolak pengenalan seni khat di SJKT turut dikongsikan pengguna Twiter Pizli Mat Wazip di laman sosial.
Gambar kain rentang menolak pengenalan seni khat di SJKT turut dikongsikan pengguna Twiter Pizli Mat Wazip di laman sosial.

Pengguna Twitter, @Rae Zalani pula berkata, dia tidak bersetuju tindakan menaikkan kain rentang sebagai tanda protes.

“Saya dari SJKC dan belajar kaligrafi Cina, tapi saya kurang setuju tindakan naikkan kain rentang tanda protes. Kabinet bagi kelonggaran untuk tolak subjek Khat (Jawi) bagi vernakular. Kan boleh membangkitkan kebencian kaum, tak perlu sampai naikkan kain rentang,” kongsinya.

Sementara itu, wakil PIBG sekolah berkenaan yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan kain rentang terbabit sudah dibuang.

"Kain rentang itu sudah diturunkan pada Rabu lalu. Perkara itu diputuskan secara bersama. Saya akan ulas secara lanjut dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu membuat keputusan mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun 2020 diteruskan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) berkata ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid tahun empat mulai tahun 2020, murid tahun lima pada tahun 2021 dan murid tahun enam pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN 100,000 rakyat Malaysia bersatu pertahan tulisan jawi!

Tulisan jawi diajar jika dapat persetujuan PIBG: KPM