Kes Adib: Inkues buka ruang bukti baharu

Zuraida ditemui pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Wira Merah di sini hari ini.
Zuraida ditemui pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Wira Merah di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menjalankan inkues terhadap kematian Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Adib Mohd Kassim bakal membuka ruang terhadap bukti- bukti baharu termasuk keterangan saksi.

Justeru Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan prosiding inkues tersebut.

"Jadi ini kami alu-alukan. Ia juga beri ruang sekiranya ada bukti-bukti baru, saksi-saksi baru yang hendak tampil ke hadapan," katanya.

Menurutnya, prosiding itu juga akan memanggil forensik dan pasukan perubatan yang merawat Muhammad Adib.

"Dan ia akan (mengenal pasti) sebab-sebab kematian Muhammad Adib," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Wira Merah di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil kira siasatan awal.

"Jadi mereka fikirkan sebaiknya adakan inkues.

"Jadi kita biarkan majistret mengumumkan hasil inkues tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, Tommy akan mengarahkan majistret untuk menjalankan inkues berhubung kematian Muhammad Adib.

Keputusan itu hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Terdahulu keluarga Muhammad Adib menerima sumbangan RM298,755 skim perlindungan insurans yang diwujudkan oleh JBPM , bantuan kebajikan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam dan sumbangan pihak swasta termasuk Yayasan Eco World.

Pada majlis itu, JBPM menyerahkan sijil dan tanda pangkat sebagai simbolik kenaikan pangkat kepada keluarga Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin lepas selepas dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah kira-kira 1.45 tengah hari Selasa lepas.