Ibu jari Ketua Polis Daerah Besut terpaksa dibuang semula

Aidi (depan, tengah) bergambar bersama pegawai kanannya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di IPD Kemaman hari ini.
Aidi (depan, tengah) bergambar bersama pegawai kanannya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di IPD Kemaman hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Ibu jari kanan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi yang sebelum ini berjaya disambung selepas putus ditetak Khamis lalu terpaksa dibuang semula berikutan berlaku jangkitan kuman, namun keadaan beliau kini stabil.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pembedahan kedua terpaksa dilakukan pada malam kelmarin selepas doktor mendapati jangkitan kuman itu merebak ke otak.

Menurutnya, berikutan itu doktor terpaksa mengambil keputusan membuang semula ibu jari kanan tersebut bagi menyelamatkan beliau.

"Sekarang beliau masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaan beliau sudah tidak kritikal.

"Beliau dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini hari ini.

Aidi berkata, pada awalnya ibu jari kanan Mohd Zamri dilihat ada harapan untuk diselamatkan kerana darah mengalir semula pada ibu jari kanan beliau selepas selesai pembedahan pertama selama 14 jam sebelum doktor yang melakukan pemantauan mengesan adanya jangkitan kuman.

Mohd Zamri, 55, mengalami kecederaan parah putus jari kanan dan terkoyak kulit kepala akibat ditetak jirannya yang dikatakan mengalami sakit mental dalam kejadian di depan rumah beliau di Kamping Padang Luas, Jertih, Besut kira-kira jam 12.50 tengah hari Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Daerah Besut kena tetak

Pembedahan menyambung semula jari kanan mangsa dijalankan bermula jam 5 petang hingga jam 7 pagi kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aidi meminta nelayan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang peserta kayak lelaki warga Singapura, Tan Eng Soon, 62, yang masih hilang dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Setakat ini SAR yang diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih dijalankan," katanya.

Eng Soon dan rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang ketika sedang melakukan aktiviti kayak di perairan Mersing, Johor 8 Ogos lalu sebelum mayat Geok Tin ditemui di perairan Kuala Kemaman pada 14 Ogos.

Sebelum ini juga ada nelayan mendakwa ternampak satu mayat terapung yang lengkap memakai jaket keselamatan pada kedudukan kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Dungun lebih kurang jam 6 petang Khamis lalu tetapi pihak berkuasa tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan itu setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu jari Ketua Polis Daerah Besut berjaya disambung

Lelaki mental tetak Ketua Polis Daerah Besut ditahan