Himpunan anti-Lynas tetap diadakan hari ini

Foto AFP
Foto AFP
A
A
A

KUANTAN - Himpunan anti-Lynas tetap akan berlangsung hari ini bagi menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mematuhi janji dalam manifestonya yang berikrar untuk mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, himpunan tersebut diadakan bagi membantah tindakan kerajaan yang membuat pusingan ‘U’ selepas menggugurkan syarat Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) daripada menghantar sisa radioaktifnya.

Tan Bun Teet
Tan Bun Teet

Menurutnya, beliau dan seluruh warga Kuantan kecewa dengan keputusan kerajaan kerana membenarkan Lynas terus memproses nadir bumi di negeri ini.

“Kami hanya mahu ingatkan kerajaan PH dengan janji mereka terhadap isu Lynas. Kami juga akan terangkan kepada orang ramai mengenai kesan daripada nadir bumi ini kepada masyarakat.

“Kami juga tidak faham kenapa kerajaan buat pusingan ‘U’ dalam isu ini sekali gus mendatangkan kemarahan dan kekecewaan kami,” katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lesen Lynas diperbaharui dengan syarat

Perhimpunan digelar ‘818’ bersempena tarikh himpunan itu akan diadakan di Taman Gelora.

Ia dijadualkan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Bun Teet menganggarkan kehadiran antara 1,000 hingga 2,000 orang dengan sebahagian besar daripada mereka akan datang dari luar Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli politik yang dijangka hadir ke perhimpunan itu ialah wakil rakyat PKR, Lee Chean Chung (ADUN Semambu) dan Sim Chon Siang (ADUN Teruntum).

ARTIKEL BERKAITAN: 'Enam bulan sahaja peluang Lynas perbaiki, penuhi syarat'

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang sudah lama bersikap kritikal terhadap Lynas juga dijangka hadir pada himpunan itu.

Ditanya mengenai kelulusan permit bagi mengadakan himpunan itu, Bun Teet berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Notis himpunan Anti-Lynas tidak cukup syarat: Polis

Tambah beliau, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pihak polis berhubung penganjuran itu.

“Kami jangka himpunan ini aman kerana program ini diadakan lebih bersifat penerangan kepada orang ramai.

“Kita juga akan adakan pementasan teater dan senaman, bukan himpunan berbentuk kekerasan atau provokasi,” katanya.