Notis himpunan Anti-Lynas tidak cukup syarat: Polis

Mohd Noor
Mohd Noor
A
A
A

KUANTAN - Notis penganjur himpunan aman Anti-Lynas di Taman Gelora esok didapati tidak mematuhi syarat dan peraturan yang digariskan dalam Akta Himpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, pihak penganjur gagal mengemukakan surat kelulusan kebenaran kawasan itu daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Notis penganjuran himpunan itu telah kita terima tetapi pihak penganjur tidak memaklumkan perkembangan mengenai kelulusan kawasan seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini.

“Jadi, pihak polis telah berhubung dengan MPK selepas gagal menghubungi penganjur dan wakil daripada MPK memaklumkan permohonan bagi mengadakan permohonan terbabit ditolak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, sekiranya permohonan itu ditolak penganjur tidak dibenarkan mengadakan sebarang himpunan di kawasan terbabit.

Tegasnya, satu laporan polis juga boleh dibuat ke atas penganjur seandainya himpunan itu diadakan kerana berlakunya pelanggaran di bawah Akta Himpunan 2012.

“Pihak polis boleh mengambil tindakan kepada penganjur, kalau mereka degil dan pihak polis dan MPK akan membuat pemantauan dan pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor meminta penganjur supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah digariskan bagi mengelak sebarang masalah berlaku.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan agar penganjur tidak mengadakan himpunan aman itu apabila mengetahui tiada kelulusan daripada pemilik tempat terbabit.

“Kalau penganjur tetap mahu buat himpunan itu mereka perlu buat permohonan baharu atau mencari lokasi bagi tujuan tersebut (himpunan aman).

“Ini sahaja saranan yang saya boleh cadangkan kepada penganjur,” katanya.

Esok, Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet selaku penganjur akan mengadakan himpunan di kawasan itu bagi membantah tindakan kerajaan yang membuat pusingan U selepas menggugurkan syarat Lynas Corporation Ltd (Lynas) daripada menghantar sisa radioaktifnya.

Ia dijadualkan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada 10:30 pagi.