Lupakan kisah 'solat dua imam', kata Ismail Sabri

Ismail Sabri memalu gong simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-31 hari ini.
Ismail Sabri memalu gong simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-31 hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - UMNO dan Pas Terengganu perlu bertekad untuk melupakan segala sengketa lama dengan memberi fokus pada penyatuan ummah demi kuasa orang Melayu Islam di masa depan.

Saranan itu dilontarkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob biarpun mengakui senario politik di Terengganu agak berbeza berbanding negeri lain di semenanjung.

"Di Terengganu ini mungkin berbeza sikit, persengketaan antara UMNO dan Pas terlalu dalam. Jauh ke dalam hati, menusuk ke jiwa. Dulu tengok, kalau selisih bahu pun mungkin tak tegur, makan sekali pun tak mahu.

"Pahang mungkin berbeza, kalau ada kenduri kahwin. Kita masak bersama. Wanita UMNO, Pas duduk memasak bersama di dapur, cuci pinggan bersama. Saya rasa (di) sini tak boleh kot.

"Terengganu satu-satunya negeri yang ada sembahyang dua imam berbeza. Mula-mula orang kita sembahyang dulu, turun. Lepas itu naik orang dia. Saya pernah pergi ke Besut waktu pilihan raya dulu," katanya.

Ahli Parlimen Bera yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata demikian sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-31 di Scout Inn Resort, Telaga Batin hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri berkata, UMNO dan Pas Terengganu tidak boleh terus mengasingkan diri kerana ahli parti perlu melihat gambaran lebih besar sekiranya mahu memerintah negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlukan sokongan Pas, baru kita boleh. Kalau tidak jadilah seperti kita. Kalau kita lemah walaupun kita kuat sesama kita, tapi kalau kita gagal membentuk kerajaan tiada apa yang boleh," katanya.

Sehubungan itu, penyatuan dua parti politik terbesar orang Melayu itu dilihat relevan bagi menghadapi situasi politik negara masa kini di samping sebagai platform terbaik menawan semula Putrajaya.