Orang Asli derita penyakit kulit

Salim menunjukkan bahagian tangannya yang kering dan bersisik.
Salim menunjukkan bahagian tangannya yang kering dan bersisik.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 30 daripada 100 penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh di sini, menderita penyakit kulit kronik.

Bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak turut mengalami penyakit itu apabila kulit mereka kering dan bersisik di bahagian badan.

Seorang penduduk, Salim Ping, 32, berkata, dia mula mengalami masalah berkenaan sejak usia 14 tahun.

Katanya, dia sendiri tidak tahu punca penyakit berkenaan, namun percaya ia bukanlah penyakit keturunan.

"Pada mulanya, kulit saya mengelupas dan gatal-gatal. Saya ingatkan sakit biasa dan akan pulih sedikit masa, tapi makin lama makin teruk dan menjalar ke bahagian lain seluruh badan.

Anggota perubatan mengambil sampel darah Salim.
Anggota perubatan mengambil sampel darah Salim.

"Bila saya pulang dari hutan dan tidak mandi, rasa gatal itu semakin kuat. Tapi, saya hairan, bila saya ke kampung saudara di Gombak, Selangor, badan saya tak pula gatal. Saya rasa, mungkin sebab sumber air di kawasan ini," katanya.

Salim berkata, isterinya, Rita Punai, 31, turut mengalami masalah kulit yang sama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia sudah ke beberapa hospital termasuk di Pahang, namun doktor memaklumkan ia hanya gatal-gatal biasa dan tidak berbahaya.

"Saya pelik kerana gatal itu bukan biasa-biasa. Doktor hanya bagi ubat sapu, tapi rasa sakit tu tak berkurang pun, masih seperti biasa," katanya.

Ketua Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, penyakit kulit kronik itu hanya melibatkan penduduk di kawasan Kuala Koh.

"Kita sendiri tidak tahu punca penyakit itu, namun apa yang kita tahu kawasan tadahan dan sumber air di Kuala Koh tercemar akibat penerokaan hutan terutama aktiviti pembalakan dan perlombongan.

"Namun, belum ada kesahihan mengenai punca penyakit. Adakan disebabkan air atau persekitaran yang tercemar atau penyakit keturunan," katanya.