[VIDEO] Malu ke sekolah kerana derita penyakit kulit rapuh

Muhammad Faris menderita penyakit kulit rapuh atau Epidermolysis Bullosa malu ke sekolah selepas terpaksa memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
Muhammad Faris menderita penyakit kulit rapuh atau Epidermolysis Bullosa malu ke sekolah selepas terpaksa memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang menderita penyakit kulit rapuh atau Epidermolysis Bullosa malu ke sekolah selepas terpaksa memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

Ibunya, Norazielawani Zi, 39, berkata, keadaan itu membuatkan dia sukar untuk memujuk anak sulung daripada dua beradik itu, Muhammad Faris Amsyar Mohd Zurairi untuk ke sekolah selepas merasa rendah diri selain trauma dengan penyakit tersebut.

"Muhammad Faris malu sebab tidak sama macam orang lain. Perkataan itulah yang sering diucapkan setiap kali bercakap tentang sekolah. Dia hanya berkurung di dalam bilik dan hidup dengan telefon.

"Masalah kulit rapuh itu menyebabkan seluruh badannya dipenuhi luka dan terpaksa dibalut menggunakan kain khas sepanjang masa bagi mengelakkan ia (kulit) terkoyak," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa di sini.

Dia berkata, penyakit yang dialami anak lelakinya sejak lahir itu turut menyebabkan kuku tangan dan kaki tertanggal serta hanya mempunyai berat badan sekitar 14 kilogram.

Ujarnya, lebih menyedihkan lagi Muhammad Faris hanya boleh mandi sekali sehari sahaja kerana dia akan meraung kesakitan jika kulitnya terkena air.

Masalah kulit rapuh itu menyebabkan seluruh badan Muhammad Faris dipenuhi luka dan terpaksa dibalut menggunakan kain khas sepanjang masa bagi mengelakkan kulit terkoyak.
Masalah kulit rapuh itu menyebabkan seluruh badan Muhammad Faris dipenuhi luka dan terpaksa dibalut menggunakan kain khas sepanjang masa bagi mengelakkan kulit terkoyak.

"Kadang kala dia saya tak mandikannya, hanya lap badan sahaja kerana tak sanggup melihat Muhammad Faris menangis menahan pedih setiap kali kulit terkena air.

"Saya juga perlu ambil masa sejam untuk menukar kain pembalut pada badan dan ini merimaskannya.

"Pelbagai ikhtiar sudah dilakukan untuk mengubati penyakitnya namun sehingga hari ini menemui jalan buntu dan hanya mampu bergantung kepada ubat antibiotik, jangkitan kuman serta pelembap," ujarnya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, keadaan itu menyebabkan dia reda jika Muhammad Faris tidak dapat meneruskan persekolahan sepertimana kanak-kanak sebayanya.

Menurut Norazielawani, walaupun tidak pernah ke sekolah, anak lelakinya itu mengenal huruf, boleh membaca serta pandai melukis kartun animasi.

Walaupun Muhammad Faris tidak pernah ke sekolah tetapi dia mengenal huruf, boleh membaca serta pandai melukis kartun animasi.
Walaupun Muhammad Faris tidak pernah ke sekolah tetapi dia mengenal huruf, boleh membaca serta pandai melukis kartun animasi.

Dia sendiri terkejut dengan perkembangan itu dan yakin ia dipelajarinya melalui telefon kerana kehidupan harian Muhammad Faris hanya dengan gajet tersebut.

Ujanya, setiap bulan dia memerlukan RM2,000 untuk merawat anaknya itu kerana selain lampin pakai buang dan kain pembalut khas, dia perlu bergantung kepada susu yang agak mahal harganya.

Sebagai peniaga gerai jualan makanan serta suami, Mohd Zurairi Rosli, 40, yang bekerja sebagai buruh katanya, jumlah tersebut terlalu besar, bagaimanapun lega apabila Muhammad Faris menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 153104196259 milik Norazielawani.