Ibu, kekasih berstatus suami orang didakwa dera kanak-kanak

Amir Shafiq (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan mendera anak perempuan kekasihnya, minggu lalu.
Amir Shafiq (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan mendera anak perempuan kekasihnya, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan bawah umur dan kekasihnya yang berstatus suami orang, didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Khamis, atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak berumur setahun 11 bulan, menggunakan tangan dan penyangkut baju, pada minggu lalu.

Wanita berusia 17 tahun itu mengaku bersalah atas satu kesalahan berkenaan, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Nur Farahain Roslan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan penderaan terhadap anak perempuannya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan, di sebuah unit pangsapuri di Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, pada 4 hingga 7 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kanak-kanak yang dipercayai didera oleh ibunya dan kekasih wanita itu menggunakan tangan dan penyangkut baju.
Kanak-kanak yang dipercayai didera oleh ibunya dan kekasih wanita itu menggunakan tangan dan penyangkut baju.

Sementara seorang lagi tertuduh, bapa kepada empat anak, Amir Shafiq Shuaimy, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Dia yang bekerja sebagai pempromosi acara, didakwa atas kesalahan sama terhadap anak kekasihnya itu, menggunakan tangan dan penyangkut baju sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi dan tarikh sama, serta dituduh mengikut seksyen dengan peruntukan hukuman yang serupa.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan, dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar kadar berkenaan dikurangkan kerana perlu menanggung empat anak selain isterinya mengandung anak kelima.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Izralizam membenarkan Amir Shafiq diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh memenuhi syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 11 Julai depan.

Sebelum ini, pihak polis melaporkan menerima maklumat berhubung penderaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pada Rabu minggu lalu.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipukul selepas didakwa membuat bising sehingga menyebabkan bibirnya bengkak, lebam di kedua-dua mata dan belakang badan.