Nilai semula perundangan hina agama

A
A
A

LATAR belakang isu ‘penghinaan ke atas agama’ boleh difahami daripada sejarah penjajahan dan sejarah moden di mana terdapat kekurangan percampuran kaum akibat terhadnya peluang pendidikan dan kehidupan bersama antara kaum.

Maka itu, undang-undang sedemikian diperlukan dalam sejarah awal negara ini bagi menjaga keamanan awam.

Walau bagaimanapun, setelah 60 tahun berlalu dan negara mencapai taraf kemodenan dan kematangan liberalisasi yang digariskan oleh Visi 2020, adalah perlu untuk menyemak semula keperluan undang-undang sedemikian.Dalam negara kita, institusi agama ditubuhkan untuk mengurus setiap agama dan Islam diiktiraf sebagai agama yang mempunyai kedudukan istimewa dalam rangka perlembagaan. Artikel 3(1) menyatakan bahawa, Islam adalah agama rasmi Persekutuan tetapi agama-agama lain dibenarkan kewujudan mereka dan diamalkan secara harmoni dan aman di dalam Persekutuan.

Apa yang dimaksudkan dengan menghina agama adalah perbuatan yang tidak boleh diterima serta ia salah dalam perundangan masa kini. Agama-agama lain perlu juga dihormati walaupun kedudukan mereka sedikit berbeza dengan kedudukan Islam.

Sensitif

Dalam aplikasi perundangan melarang penghinaan agama, kita perlu menjurus kepada keseimbangan rasional dan liberal dalam konteks kebebasan ekspresi sambil mengambil kira kesensitifan kepelbagaian agama dalam masyarakat kita. Sebuah minda yang terbuka dan sikap kesederhanaan sepatutnya menjadi norma kepada interpretasi dan aplikasi perundangan sedia ada.

Berikut adalah contoh keadaan yang perlu diketahui oleh pemegang amanah perundangan supaya ia tidak terus mengambil tindakan mendadak untuk menghukum hanya kerana beberapa individu menyifatkan contoh-contoh sebegini sebagai penghinaan agama:

1. Penggunaan karikatur atau kartun untuk menyampaikan mesej secara selamba terhadap peribadi keagamaan merupakan suatu kesenian yang diterima pakai dalam bidang komunikasi massa dalam dunia sekarang ini. Produksi tulisan dan hasil kesenian oleh orang Malaysia perlu dibenarkan dan dilindungi perundangan jika ia tidak dibuktikan berniat jahat dalam mengeji ugama.

Artikel Berkaitan:

2. Pendapat-pendapat berkaitan isu sosial seperti perkahwinan kanak-kanak, ritual bersunat perempuan atau perkara-perkara seumpama sepatutnya dibolehkan perbincangannya kerana ia tiada bertujuan menghina. Sebaliknya perbincangan itu amat penting untuk membawa pengetahuan tentang ritual dan amalan tradisi yang dihalalkan oleh para agamawan. Perkongsian ilmu moden dan tradisi dengan institusi dan pegawai agama patut digalakkan.

3. Pandangan-pandangan profesional dalam bidang teknologi, perancangan, reka bentuk dan isu alam sekitar berkait dengan bangunan agama atau perbuatan keagamaan patut digalakkan kerana ia mampu membawa kelestarian terhadap bentuk dan struktur binaan yang memanfaatkan segenap masyarakat.

4. Wacana tentang spiritual, bentuk-bentuk kepercayaan agama, agnostikisme serta atheisme sepatutnya dibenarkan. Perkongsian pengalaman dan ilmu terhadap rangka pemikiran teologi dan bukan teologi mampu membangunkan negara ini dalam elemen spiritual dan nilai kesejagatan yang boleh mengganti rangka pemikiran sempit budaya dan agama.

Pemikiran, idea dan rangka pemikiran perlu dilindungi kerana ia amat penting bagi pembangunan Malaysia sebagai sebuah bangsa yang ‘mempunyai jiwa liberal, yakin dan maju sebagai negara terbangun' seperti disebut dalam Visi 2020.

Kes-kes yang terbabit dengan penghinaan agama tidak sepatutnya diadili oleh seorang hakim sahaja kerana kekhuatiran tentang kaum dan agama anutan tuan hakim.

Pengadilan kes-kes tersebut perlu dirujuk kepada suatu cadangan entiti yang boleh dinamakan sebagai Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) di bawah naungan Jabatan Perpaduan.

MPPN perlu dianggotai oleh personaliti-personaliti penting daripada masyarakat umum serta wakil agama serta kaum.

Apabila perundangan penghinaan agama dinilai semula, semua kes terbabit perlu dirujuk kepada MPPN. MPPN boleh menjemput institusi-institusi agama dan pihak berkaitan untuk menjaga supaya kes-kes itu tidak membawa pengaruh negatif serta memberi nasihat dan kaunseling kepada individu terbabit.

Penulis-penulis khutbah atau ceramah agama digalakkan menasihati pengikut masing-masing untuk menghindari daripada menghina antara agama dan jika terjadinya sesuatu penghinaan maka perlu dielakkan sebarang pertembungan.