Tiada perbincangan berhubung tapak pelupusan kekal Lynas

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TheRichz Development Sdn Bhd Norman Sia (kiri) bersalam dengan Pengarah Kumpulan Operasi Hotel Ramada Philipp Seipelt (kanan) selepas bertukar dokumen pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pembangunan Richz Eco Tourism dan Golden Age Retirement City di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A

GENTING HIGHLANDS - Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah mengadakan perbincangan dengan syarikat memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini, beliau tidak pernah berjumpa dengan wakil syarikat itu bagi membincangkan isu berkaitan cadangan PDF untuk sisa buangan Water Leached Purification (WLP) kilang yang beroperasi di Gebeng di Kuantan, dekat sini.

"Tiada sebarang perbincangan. Jumpa secara bersemuka pun tiada. Jika ada cadangan daripada pihak mereka, keutamaan kerajaan negeri sudah pasti kepada keselamatan penduduk. Itu asas kepada pendirian Kerajaan Negeri," katanya kepada Bernama.

Wan Rosdy ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara DSA Development Sdn Bhd (DSA Development) dengan Trinidad Group, Shimao Star Hotel Group dan Go Steam Cell Holdings bagi membangunkan 'The Richz Eco Tourism and Golden Age Retirement City' (The Richz) di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini, yang mendakwa terdapat lima lokasi di Pahang yang dikenal pasti untuk menjadi PDF sisa buangan WLP yang dihasilkan Lynas.

Laporan itu mendakwa lima lokasi itu ialah tapak bekas lombong emas dan bijih besi di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini dan dikatakan pihak terlibat sedang melakukan kajian sebelum dimuktamadkan.

Sementara itu, Pengerusi DSA Development Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Shahrudin Mohd Ali berkata, pembangunan projek itu di kawasan seluas 16 hektar di Batu 9, Jalan Lama Gombak-Bentong, menyediakan lokasi terbaik untuk mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota selepas bersara.

Katanya, idea itu tercetus tiga tahun lepas, apabila beliau mencari tempat tinggal untuk mereka yang bersara dengan kemudahan terbaik kepada golongan pesara lengkap dengan keindahan alam sekitar dan bukannya semata-mata bersifat 'nursing home'.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Richz, Norman Sia berkata projek itu yang disasarkan untuk kejayaan komersial yang mana menyasarkan Nilai Pembangunan Kasar RM2 bilion dan Kos Pembangunan Kasar RM1.2 bilion, dengan keuntungan kasar RM800 juta.

Projek berkenaan yang hanya 10 minit dari bandar Bentong dan 35 minit dari Kuala Lumpur dijangka siap dalam lima hingga tujuh tahun.

"Projek ini membenarkan orang ramai melalui hari tua dalam persekitaran yang menarik kerana sungai Benus melalui sempadannya dan ia mempunyai beberapa tempat air panas. Durian organik, buah-buahan tempatan, herba semulajadi dan bunga mewangi juga tumbuh di kawasan berkenaan,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia