Jeritan minta tolong di Gunung Peninjau

No Image Caption
A
A
A
GUNUNG Peninjau yang terletak di dalam Hutan Simpan Keledang Saiong bukanlah tempat asing bagi masyarakat kampung di Ulu Chepor, Chemor Perak.

Malah gunung yang mempunyai ketinggian 1,059 meter ini yang merupakan puncak tertinggi di Banjaran Keledang dan turut dikenali dengan panggilan Gunung Kecil.

Dua minggu sebelum memulakan misi pendakian, Team Busut telah menghubungi pejabat hutan daerah Kinta Manjung bagi mendapatkan permit.

Setelah menyediakan segala dokumen yang diperlukan, permohonan kami akhirnya diluluskan.

Mencuba keenakkan ‘Nasi Ganja’

Untuk mengelakkan rasa penat disebabkan perjalanan yang agak jauh, saya dan empat rakan lain memilih untuk bertolak awal.

No Image Caption



Sebaik menyiapkan segala kelengkapan yang diperlukan saya, Zainal Abidin Sahak dan isterinya Hazlida Mazrin Badaruddin segera bertolak ke Ipoh.

Manakala Farazurin Ahmad Kamil dan Syahariatie Shaari mengekori kenderaan kami dari belakang.

Sebaik tiba di Ipoh, kami segera menuju ke Jalan Yang Kalsom untuk mencuba keenakkan Nasi Kandar Ayam Merah atau lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

Selain sedap dan murah, ‘nasi ganja’ ini dikatakan unik kerana masih mampu mengekalkan rasa yang sama sejak memulakan perniagaan pada 1957.

Di sebabkan itu juga popularitinya menjangkau sehingga ke luar negara sehinggakan pelancong luar yang datang ke Perak pasti akan mencari nasi ganja ini.

Asal nama Chepor

Selesai menjamu selera, kami bertiga segera menuju ke Lata Ulu Chepor yang terletak di kampung Ulu Chepor untuk berehat.

Manakala Syahariatie memilih untuk berehat di rumah keluarga Farazurin yang terletak di Taman Rapat Setia Baru.

No Image Caption



Ulu Chepor merupakan sebuah kampung tradisional yang terletak 15km ke utara bandar Ipoh dan 5km ke selatan Pekan Chemor melalui Jelapang.

Menurut sejarah lisan, kawasan ini dikatakan diteroka pada tahun 1902 Allahyarham Tok Paduka Raja Habib Ali bin Habib Husei.

Terdapat beberapa cerita yang menceritakan asal usul nama kampung ini.

Ada yang menyatakan nama Chepor berasal daripada perkataan Cina iaitu CIPOH yang bermaksud cembul atau mangkok untuk meyimpan permata.

Selebihnya mendakwa nama Chepor itu berasal dari bunyi air yang dicepok.

Di sungai Chepor terdapat air terjun dan di bawah air terjun ini terdapat sekeping batu datar yang juga dipanggil Lata.

Apabila air terjun tadi jatuh ke lata ini, ia akan menghasilkan bunyi 'por' dan sempena dengan bunyi inilah nama Chepor dikatakan diperolehi.

Lubuk spa dan jakuzi

Sebaik tiba di kawasan perkelahan itu. mata kami seakan terpaku melihat air sungai yang jernih dan bersih.

Di sini juga terdapat kawasan air terjun seakan-akan spa dan jakuzi yang dipanggil ‘Lubuk Spa’.

Namun, untuk sampai ke kawasan mandian ‘Lubuk Spa’ itu, kami perlu berjalan kaki meredah hutan kira-kira 30 minit dari kawasan pintu masuk taman rekreasi.

No Image Caption



Sejurus selepas Subuh, seorang demi seorang mula datang. Masing-masing kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan pendakian pada pagi itu.

Cikgu Alias Mat selaku ahli senior Team Busut kemudiannya meminta semua peserta melakukan sedikit senaman ringkas.

Tepat jam 7 pagi dan sesudah bacaan doa, kami seramai 20 orang mula berjalan menuju ke pintu rimba.

Peserta lelaki di pecahkan di antara barisan bagi menjaga keselamatan dan membantu mereka yang lain.

Razlan Raduan dan Muhamad Ridwannullah Ab Rahman bertindak sebagai penunjuk arah.

Penulis dan Juhaini Abdul Rahman pula di barisan tengah.

Manakala Abd Rahman Norholis dan Cikgu Alias di bahagian belakang bagi memastikan tiada peserta yang tertinggal.

Di awal pendakian, kami menempuh denai hutan di tepi sungai yang agak senang kerana tidak bercerun.

Deruan air terjun yang deras di kawasan jeram sepanjang laluan seolah mengiringi perjalanan kami.

Jeritan meminta tolong

Tidak lama selepas itu, kami mula melalui trek bercerun di kawasan permatang.

Walaupun tidak begitu sukar, namun ia tetap mencabar kerana terpaksa merentas laluan balak yang agak jauh dan lama.

Paling menarik terdapat sebuah laluan gua kecil yang terbentuk secara semula jadi oleh gabungan dua bongkah batuan sungai yang agak besar.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan jeritan Haslina Tamrin meminta tolong yang memecah hening pagi.

No Image Caption



Masing-masing kelihatan panik, kerana menyangkakan ada di kalangan kami yang tercedera.

Rupa-rupanya dia mempunyai alahan atau ‘sindrom geli’ terhadap spesies haiwan lembik, pacat.

Selepas melihat kehadiran pacat itu, dia yang pada awalnya berada di bahagian tengah terus menyusup laju ke hadapan.

Di sepanjang laluan kami melihat terdapat banyak flora yang mempunyai nilai perubatan.

Walaupun tidak setinggi puncak gunung yang lain, namun cabaran menjejaki puncak Gunung Peninjau tidak kurang hebatnya.

Tiba di puncak

Namun bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’. Setelah hampir empat jam mendaki akhir puncak Peninjau berjaya kami tawan.

Paling mengembirakan di puncak gunung ini, terdapat struktur ‘ketupat besi’ yang masih utuh berdiri.

Ternyata panorama indah alam semula jadi yang cukup mempesona membuatkan kami sukar menggambarkannya dengan kata-kata.

Di puncak juga kami dapat melihat pemandangan pekan Chemor, bandar raya Ipoh dan Gunung Korbu yang merupakan gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,183 meter dari paras laut.

Seperti biasa sebelum pulang, kami akan memastikan semua sampah yang dibawa dikumpulkan dan di bawa turun.