85 daripada 443 rumah kritikal akibat ribut

Kejadian pokok tumbang yang berlaku akibat hujan dan angin kuat semalam.
Kejadian pokok tumbang yang berlaku akibat hujan dan angin kuat semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebanyak 443 rumah terjejas akibat hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa kawasan di daerah Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam Nasir Mamat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 266 rumah mangsa ribut berlaku di Bagan Nakhoda Omar.

"Sebanyak 78 rumah lagi di Panchang Bedena, 62 dan 25 rumah masing-masing di Sabak dan Sungai Panjang, manakala 12 rumah di Pasir Panjang terbabit dalam ribut berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Bencana Ribut Sabak Bernam, di sini hari ini.

Mesyuarat itu berlangsung selama dua jam bermula jam 11 pagi tadi di Bilik Mesyuarat Cempaka, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Nasir berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 85 rumah dikategorikan sebagai kritikal termasuk sebuah keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Balai Raya Batu 2, Desa Kasih Tebuk Pulai.

"Sebanyak 56 rumah mengalami kerosakan kritikal di Bagan Nakhoda Omar, Panchang Bedena dan Sungai Panjang (12), Sabak (4)," katanya.

Katanya, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam menyerahkan bantuan awal sebanyak RM250 kepada 40 rumah paling kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Sementara 40 rumah kritikal dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dijadualkan mengadakan lawatan di 10 rumah terjejas jam 5 petang ini.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu 10 rumah krital yang dilawati Amirudin.

"Sebanyak 10 rumah dijangka dilawati Amirudin iaitu di Tebuk Pulai, Banting, Bagan Nakhoda Omar, Teluk Rhu, Parit Baru dan Sungai Apong," katanya.

Selain itu, katanya, 30 bantuan awal masing-masing 10 di Bagan Nakhoda Omar, Sabak dan Panchang Bedena disampaikan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Manakala bantuan mangsa ribut lain diselaraskan ketua kampung dan pejabat penghulu mukim masing-masing," katanya.

Menurutnya, agensi kerajaan lain turut membantu menyediakan peralatan dan tenaga bagi kerja-kerja memotong pokok.

"Agensi terlibat ialah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam, Jabatan Kerja Raya dan Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pihak persendirian.

"Bantuan sewaan peralatan lain boleh dibuat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan pemakluman kepada pejabat penghulu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabak Bernam dibadai ribut