Sabak Bernam dibadai ribut

Kejadian sebuah rumah mengalami kerosakan teruk akibat kejadian ribut malam tadi
Kejadian sebuah rumah mengalami kerosakan teruk akibat kejadian ribut malam tadi
A
A
A

SABAK BERNAM - Hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 1.15 pagi tadi itu mengakibatkan beberapa kediaman penduduk dan premis perniagaan terjejas antaranya di Sungai Air Tawar, Parit Baru, Sungai Lang, Teluk Rhu, Bagan Nakhoda Omar, Tebuk Pulai, Sungai Besar dan Sekinchan.

Kejadian ribut itu disifatkan luar biasa turut mengakibatkan banyak pokok tumbang, bumbung rumah diterbangkan angin, kereta dihempap pokok, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Beberapa pemilik Facebook turut memuat naik hantaran dan video mengenai kejadian terbabit.

Pemilik akaun menggunakan nama 'Fyzzan O'manje berkata, terdapat banyak kerosakan dan kemusnahan berlaku di Bagan Nakhoda Omar.

"Berdoa untuk Sabak Bernam dan Sungai Besar," katanya

Laman Facebook menggunakan akaun 'Kelab Belia Dinamik Sungai Besar' memuat naik video kejadian ribut di Sungai Besar berdurasi 0.33 saat.

"Kejadian angin ribut sekitar Sungai Besar, harap semua berhati-hati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pemilik Facebook menggunakan nama 'Pa Uban' pula memaklumkan banyak bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

"Sungai Apong banyak zink rumah diterbangkan angin. Bagaimana tempat anda?. Semoga semuanya selamat," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata, beliau menerima banyak aduan kerosakan bumbung rumah dan kemusnahan harta benda berlaku di DUN itu akibat ribut.

Katanya, pihaknya berusaha mengumpul data pemilik rumah terlibat akibat kejadian berkenaan.

"Mohon jasa baik agensi kerajaan untuk segera membantu mangsa dan memastikan keselamatan rakyat di DUN Sungai Air Tawar.

"Hari ini saya ziarah dari rumah ke rumah penduduk untuk melihat sendiri keadaan yang berlaku.

"Semoga tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan semoga semuanya tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor (Sabak Bernam dan Hulu Selangor) sehingga jam 4 pagi tadi.