Pantau rapi Empangan Bukit Merah

Paras Empangan Bukit Merah masih dibawah paras normal.
Paras Empangan Bukit Merah masih dibawah paras normal.
A
A
A

GUNUNG SEMANGGOL - Kerajaan negeri memantau rapi perkembangan semasa Empangan Bukit Merah termasuk menjalankan kerja pembersihan kolam bagi mengelak berlakunya limpahan air berikutan musim hujan, hujung tahun ini.

Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, pada ketika ini, bacaan paras empangan adalah pada 8.37 meter (27.9 kaki) berbanding paras normal iaitu 8.55 meter.

"Kita sedia maklum daerah Kerian pada setiap hujung tahun dijangkakan berlaku banjir, tetapi keadaan sekarang hujan masih dikategorikan sebagai kurang, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, namun semua agensi terlibat telah maklum persiapan yang perlu dilakukan.

"Kita sudah dalam keadaan mood ‘standby’ jika berlaku banjir, ini dinyatakan secara jelas dalam mesyuarat dan taklimat yang diadakan sebelum ini," katanya selepas membuat lawatan ke Tasik Bukit Merah bagi meninjau operasi pengairan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, hari ini.

Menurutnya, Tasik Bukit Merah berkeluasan 8,000 hektar itu telah melalui proses naik taraf dan pembersihan kolam dengan membuang sisa gambut.

"Setakat ini, keadaan kolam adalah baik, walaupun hujan lebat, masih mampu menampung paras air yang memungkinkan banjir berlaku," katanya.

Mengulas pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, beliau berkata, perbincangan mengenai cadangan itu masih berjalan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Katanya, jika dilaksanakan, projek bernilai hampir RM300 juta itu dapat menyelesaikan dan memberi keseimbangan sumber air berterusan bagi memenuhi keperluan pertanian, domestik dan industri di kawasan Bukit Merah serta sekitarnya.

Artikel Berkaitan: