Guru tadika diperdaya 'scammer' menyamar pegawai mahkamah, polis

Macau
Macau
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru tadika membuat laporan polis semalam selepas wang dalam akaun banknya berjumlah RM11,200 lesap setelah menyerahkan maklumat perbankan internetnya kepada seorang 'pegawai polis'.

Wanita berusia 29 tahun itu menyerahkan maklumat bank termasuk kata laluan dan nombor TAC kepada 'pegawai polis' terbabit kononnya bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, siri penipuan ke atas mangsa bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dari Mahkamah Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, mangsa diberitahu dia mempunyai tunggakan kad kredit dan proses tuntutan sudah dibawa ke mahkamah itu.

"Mangsa menafikan tentang pemilikan dan tunggakan bayaran kad kredit tersebut lalu panggilan disambung kepada seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk semakan.

"Mangsa berurusan dengan pegawai memperkenalkan diri sebagai Sarjan Yusof sebelum dimaklumkan dia juga dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan berdepan hukuman berat jika sabit kesalahan," katanya.

Mohd Wazir berkata, seperti biasa, panggilan disambung kepada pegawai berpangkat Inspektor menggunakan nama Inspektor Shahrul kononnya pegawai penyiasat kes tersebut.

"Mangsa dimarahi pegawai terbabit ekoran kes dihadapinya sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan internetnya bagi tujuan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa akur pada arahan itu lalu menyerahkan semua maklumat yang diminta," katanya.

Beliau berkata, semua maklumat termasuk nombor TAC diserahkan, mangsa menerima mesej daripada pihak bank berhubung transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke akaun atas nama individu lain sebanyak RM11,200.

"Mangsa membuat semakan dan mendapati wang tersebut lesap.

"Hasil siasatan, wanita itu disyaki menjadi mangsa 'scammer' yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis dengan memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan maklumat perbankan internet sebelum suspek menggunakannya maklumat tersebut untuk melesapkan wang dalam akaun bank mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita juga sedang mengesan seorang lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.