MAQIS rampas bungkusan bale jute, tikar mengkuang tanpa permit

Bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang yang didapati tiada permit yang sah dikeluarkan MAQIS.
Bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang yang didapati tiada permit yang sah dikeluarkan MAQIS.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengeluarkan kompaun terhadap sebuah syarikat selepas didapati mengimport tembakau menggunakan bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang tanpa permit yang sah.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, tindakan berkenaan susulan daripada pemeriksaan yang dilakukan pihaknya di Zon Bebas Dermaga Butterworth di sini yang dilakukan jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati syarikat terbabit mengimport tembakau paya kumbuh dari negara Indonesia menggunakan bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang sebanyak 228 kilogram (kg) tanpa mempunyai sebarang dokumen permit import yang sah.

"Bale jute dan tikar mengkuang diperbuat daripada hasilan pertanian yang memerlukan suatu permit sah yang dikeluarkan oleh Maqis dan juga memerlukan sijil fitosanitasi.

"Setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya, kita telah mengeluarkan kompaun serta peringatan kepada pengimport tersebut atas kesalahan mengimport tanpa suatu dokumen yang sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang yang didapati tiada permit yang sah dikeluarkan MAQIS.
Bahan pembungkusan bale jute dan tikar mengkuang yang didapati tiada permit yang sah dikeluarkan MAQIS.

Zarina berkata, perbuatan mengimport produk hasilan pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pintu masuk Dermaga Air Dalam (DAD) di Pulau Pinang adalah salah satu pintu masuk bagi kemasukan komoditi pertanian dari negara luar.

Oleh itu, kawalan bio sekuriti yang ketat akan dilaksanakan bagi menjaga keterjaminan makanan negara, terutamanya dalam aspek keselamatan makanan dan bio sekuriti dengan memastikan setiap keluaran pertanian dan produk agro makanan yang diimport adalah selamat, tidak mempunyai perosak dan penyakit, berkualiti dan halal untuk kesejahteraan rakyat.

“Bagaimanapun, pihak MAQIS sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab di pintu masuk bagi memastikan tiada kemasukan produk pertanian ke dalam negara secara penyeludupan atau melanggar undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan negara bebas dari sebarang ancaman perosak dan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian negara,” katanya.