Lima industri dikenal pasti Selangor: Amirudin

Amirudin (dua dari kanan) ketika sesi libat urus bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipengerusikan Mohamed Azmin di Hotel Concorde, Shah Alam semalam. Foto: Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
Amirudin (dua dari kanan) ketika sesi libat urus bersama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipengerusikan Mohamed Azmin di Hotel Concorde, Shah Alam semalam. Foto: Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti lima industri utama di negeri ini yang memerlukan kerjasama kerajaan Persekutuan dalam usaha menjadikan Selangor negeri pintar.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia termasuk industri sains hayat, jentera dan kejuruteraan, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta pengangkutan dan peralatan selaras dengan pendekatan Klusterisasi Ekonomi diilhamkan beliau.

Menurutnya, dalam sesi pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, pihaknya turut membincangkan bagaimana menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terulung ke peringkat lebih tinggi hasil kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 2021-2025 dipengerusikan menteri hari ini (semalam).

“Sesi libat urus kali ini adalah yang kelapan selepas beberapa negeri lain. Pembangunan dan perancangan RMK12 yang dirangka dalam sesi libat urus ini merupakan suatu ‘game changer’ yang bakal membuka lebaran baru buat ekonomi negara, sekali gus melimpahkan kemakmuran ekonomi buat semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, dalam pertemuan itu beliau turut berkongsi prestasi Selangor dan bagaimana kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat melonjakkan Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

Katanya, sebagai sebuah negeri utama yang menjadi pengemudi atau enjin utama ekonomi negara, kemajuan dan kemakmuran Selangor penting untuk kemajuan negara.

“Kerajaan negeri berharap beberapa inisiatif membabitkan pembangunan infrastruktur seperti jalan bertingkat, penggantian paip air, solusi kepada pemilikan rumah mampu milik, peningkatan kapasiti jalur lebar, projek pengurusan banjir termasuklah Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir dan Subang Airport Regeneration 2025 akan dipertimbang dan diluluskan kementerian.

Artikel Berkaitan:

“Projek itu termasuk jalan bertingkat menghubungkan Pelabuhan Utara dengan Pulau Indah, Jajaran WCE Banting-KLIA-Tanjung Sepat dan Pulau Indah Ring Road Fasa ketiga,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut berterima kasih kepada Mohamed Azmin atas inisiatif menganjurkan sesi libat urus yang menekankan prinsip federalisme.