Rambang mata lihat juadah 300 gerai

Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP) tampil dengan deretan lebih 300 gerai sepanjang melebihi satu kilometer, sekali gus antara bazar terpanjang di negara ini.
Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP) tampil dengan deretan lebih 300 gerai sepanjang melebihi satu kilometer, sekali gus antara bazar terpanjang di negara ini.
A
A
A

RAWANG – Kemeriahan suasana Ramadan lebih terserlah apabila Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP) tampil dengan deretan lebih 300 gerai sepanjang melebihi satu kilometer, sekali gus antara bazar terpanjang di negara ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai mula hadir seawal jam 4 petang bagi mendapatkan juadah pilihan untuk berbuka puasa.

Peniaga murtabak, Zul Nordin, 56, berharap penganjuran kali ini memberi pulangan lebih baik kepada peniaga selain kepuasan kepada pengunjung.

Bazar Ramadan Santai BTP menyediakan lebih 300 gerai juadah Ramadan.
Bazar Ramadan Santai BTP menyediakan lebih 300 gerai juadah Ramadan.

“Ramadan memang waktu ditunggu setiap tahun. Dengan lokasi lebih luas dan jangkaan pengunjung lebih ramai, saya harap jualan kali ini bertambah dan rezeki peniaga juga lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Sementara itu, pengunjung, Norianaliza Husian, 40, dari Sungai Choh mengakui teruja selepas mengetahui bazar berkenaan menjadi antara terpanjang di negeri ini.

“Saya datang untuk merasai sendiri suasananya. Pilihan makanan banyak selain ruang luas dan memudahkan pengunjung berjalan melihat gerai yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, penganjur, Muhammad Faezee Abu Bakar berkata, bazar tersebut dikendalikan BigFood Festival bersama Low Yat Group selaku penaja utama dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Bank Islam Malaysia Bhd selain Jawatankuasa Zon 18 BTP.

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat tidak menghalang pengunjung meninjau gerai jualan di Bazar Ramadan Santai BTP.
Hujan lebat tidak menghalang pengunjung meninjau gerai jualan di Bazar Ramadan Santai BTP.

Katanya, penganjuran berskala besar itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil menjana pendapatan sepanjang Ramadan, di samping menarik kehadiran pengunjung setempat.

“Susun atur gerai yang panjang memberi pengalaman berbeza kepada orang ramai selain menyediakan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa.

“Lokasi ini menghimpunkan tiga bazar sedia ada dalam satu kawasan supaya lebih tersusun dan memudahkan pengunjung.

“Kami turut menyediakan ruang khas untuk orang ramai berbuka puasa sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Tambahnya, kemudahan lain seperti pentas persembahan ringan, aktiviti hujung minggu serta surau turut disediakan bagi keselesaan pengunjung.

Dalam pada itu, hujan lebat bermula kira-kira jam 4.30 petang menyebabkan beberapa khemah peniaga terjejas akibat angin kencang.

Bagaimanapun, pihak penganjur segera menyediakan khemah gantian membantu membolehkan peniaga meneruskan perniagaan mereka.

“Keadaan cuaca adalah cabaran utama selain pengurusan trafik dan pemantauan kebersihan serta keselamatan makanan, namun yakin semuanya dapat dikendalikan dengan baik,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri tampil dengan lebih 300 gerai sepanjang melebihi satu kilometer, membuatnya antara bazar terpanjang di Malaysia
  • Orang ramai mula hadir seawal jam 4 petang untuk memilih juadah berbuka
  • Peniaga berharap penganjuran bazar ini memberi pulangan lebih baik dan meningkatkan jualan
  • Bazar ini adalah inisiatif bersama BigFood Festival, Low Yat Group, MPS, dan Bank Islam Malaysia untuk membuka peluang usahawan kecil menjana pendapatan
  • Fasiliti disediakan termasuk ruang berbuka, pentas persembahan, aktiviti hujung minggu, dan surau demi keselesaan pengunjung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!