Maqis tahan kucing dari Rusia

Kucing yang 'ditahan' selepas didapati dibawa masuk ke negara ini menggunakan permit import mengelirukan.
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan seekor kucing di Kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati dibawa masuk ke negara ini menggunakan permit import mengelirukan.

Ketua Pintu Masuk Maqis KLIA Kargo, Mohamad Maelah berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 12 ekor kucing yang diimport dari negara Rusia Khamis lalu.

Menurutnya, permit seekor daripada haiwan tersebut didapati mengelirukan menyebabkan Maqis mengambil tindakan menahan kucing tersebut untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam kes berasingan pada 29 Julai lalu, beliau berkata, Maqis turut merampas tiga anak pokok bonsai diimport dari Tanzania, Afrika yang tidak mempunyai Permit Import sah daripada Maqis.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan sekiranya mengimport anak pokok bonsai tanpa mempunyai permit import sah daripada Maqis.

“Pesalah berdepan hukuman di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Maqis sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan peliharaan atau tumbuhan yang dibawa masuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia