Rahsia 'Ayah We' masih sihat di usia 95 tahun

Mat Zin menunjukkan urutan ringkas yang menjadi amalannya sambil dibacakan potongan tahiyat yang dikatakan dapat membantu kuatkan daya ingatan.
Mat Zin menunjukkan urutan ringkas yang menjadi amalannya sambil dibacakan potongan tahiyat yang dikatakan dapat membantu kuatkan daya ingatan.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Meskipun sudah menginjak usia 95 tahun, seorang moyang 15 cicit daripada Kampung Kuala Por di sini masih dianugerahkan kesihatan yang baik dan kudrat uruskan diri sendiri serta berjalan ke sana sini.

Malah Mat Zin atau lebih dikenali sebagai Ayah We juga masih kuat daya ingatannya sehingga masih mampu mengingati dengan baik setiap peristiwa pengalaman hidupnya sebelum merdeka dan boleh nyanyikan lagu kebangsaan Jepun dengan sempurna.

Berkongsi cerita, Mat Zin berkata, dia bersyukur kerana masih dipanjangkan umur sehingga kini dan tiga adiknya telah dijemput Ilahi ketika berusia sekitar 70-an hingga 80-an tahun.

"Alhamdulillah Tok Ki masih dikurniakan kudrat dapat berjalan ke sana sini tanpa perlukan bantuan ahli keluarga lagi setakat ini. Tiada apa-apa rahsia atau pantang larang tertentu dari segi pemakanan cuma Tok Ki tidak minum ais.

"Selain itu Tok Ki cuma banyakkan mengaji dan amalkan membaca surah tiga Qul pada waktu pagi dan petang. Sebelah petang sebelum matahari terbenam, manakala pagi sebelum matahari terbit.

"Selepas habis baca doa ambil wuduk pula ada bacaan potongan tahiyat sambil disertakan satu urutan ringkas bermula daripada kening. Urutan ini dipercayai juga dapat kuatkan ingatan," katanya kepada ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Menyentuh mengenai kehidupan sebelum merdeka Ayah We mengibaratkan kehidupan berbeza bagaikan 'langit dengan bumi' dan pengalaman hidup di zaman Jepun paling dirasakan sukar untuk mendapatkan makanan.

"Hidup sebelum merdeka boleh dikatakan sentiasa rasa takut sama ada oleh Jepun, komunis mahupun British. Tok Ki pernah lalui semua zaman penjajahan itu dan tidak mahu lagi ia berulang.

Artikel Berkaitan:

"Selain melihat kematian demi kematian di depan mata, makanan juga terlalu sukar terutamanya sewaktu penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

"Ubi gadong, ubi kayu dan jagung antara makanan dicampur bersama nasi untuk dimakan," katanya yang pernah bergelar anggota Federal Jungle Company suatu masa dahulu.