Menginjak usia tujuh bulan, keadaan Sufi Syafrina merosot

Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik SMA Jenis 1 memerlukan RM9 juta bagi menampung kos perubatannya.
Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik SMA Jenis 1 memerlukan RM9 juta bagi menampung kos perubatannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesihatan bayi, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1 semakin merosot apabila dia menginjak usia tujuh bulan.

Bapanya, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, semakin meningkat usia, semakin mudah untuk Sufi Syafrina berhadapan dengan komplikasi kesihatan.

“Doktor memaklumkan tahap kesihatan anak saya akan semakin merosot selagi tidak menerima suntikan jenis Zolgensma untuk memastikan badannya pulih sepenuhnya.

“Pada 12 Ogos lalu, Sufi Syafrina telah dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur kerana lemah dan tenat disebabkan ada jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafiq memberitahu, bayi berkenaan terpaksa ditahan di wad kerana bantuan oksigen dan ubat antibiotik diperlukan selama enam hari.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, walaupun kondisi kesihatan Sufi Syafrina semakin merosot tetapi perkembangan pergerakan tubuh menunjukkan perubahan positif.

“Kini bayi saya berhadapan dengan masalah kesukaran untuk bernafas dan dia juga pernah mengalami sesak nafas sebanyak empat kali disebabkan oleh kahak dan tersedak air liur.

“Pun demikian, masalah kesihatan itu tidak membataskan pergerakan Sufi Syarfina malah ia menunjukkan perkembangan positif terutamanya pada tangan yang mana semakin kuat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Julai, akhbar ini melaporkan, Sufi Syafrina yang didiagnosis menghidap penyakit genetik jarang berlaku memerlukan bantuan sebanyak RM9 juta bagi menampung kos perubatan.

Justeru, Sinar Harian telah melancarkan tabung bagi mengumpul dana untuk membantu Sufi Syafrina yang menghidap penyakit genetik berkenaan dan memerlukan suntikan jenis Zolgensma untuk pulih.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276-529068 - Tabung Bantuan Sufi Syafrina.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tabung bantu Sufi Syafrina dilancar

Keadaan Sufi Syafrina belum pulih sepenuhnya

Tabung Sufi Syafrina: Beri harapan baharu untuk keluarga

RM1 amat bermakna buat Sufi Syafrina

Sufi Syafrina perlukan ihsan orang ramai