Orang asli tidak alami masalah diskriminasi dalam pekerjaan

Johari Alwi (berdiri, enam dari kiri) bergambar bersama pemuda Orang Asli pada Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di Kompleks Dagangan Mahkota, semalam.
Johari Alwi (berdiri, enam dari kiri) bergambar bersama pemuda Orang Asli pada Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di Kompleks Dagangan Mahkota, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan belia orang asli berdepan masalah diskriminasi sehingga mengakibatkan ramai daripadanya gagal bertahan dalam pasaran kerja.

Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi berkata, perkara itu seharusnya tidak timbul kerana pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan isu tersebut.

"Masalah (diskriminasi) ini hanyalah isu terpencil dan tidak terlalu serius. Kalau ada pun, banyak cakap-cakap di media sosial saja dan bukanlah perkara yang mengakibatkan mereka (belia orang asli) tidak berminat untuk pekerja.

"Lagipun kita kena faham situasi mereka mungkin mereka tidak selesa dengan keadaan persekitaran di lokasi pekerjaan ditawarkan kepada mereka atau mungkin disebabkan masalah keluarga yang tidak terlalu menyokong anak mereka bekerja luar dari kawasan penempatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Jom Masuk PLKK anjuran Jakoa Pahang yang turut dihadiri Ketua Seksyen (Latihan dan Kebajikan) Jakoa, Rashidah Yahaya di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, Program Latihan dan Kerjaya (PLKK) yang diperkenalkan sejak tahun 2010 membantu seramai 3,200 masyarakat orang asli di Pahang mendapatkan pekerjaan.

"Jumlah ini masih rendah memandangkan seramai kira-kira 8,000 sudah mengikuti PLKK sejak dilaksanakan bagi membantu masyarakat orang asli terutama generasi muda.

"Program yang dikendalikan Jakoa dengan pelbagai agensi pekerjaan ini menawarkan latihan dalam pekerjaan kepada belia orang asli di Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari berkata, melalui program itu pihaknya dapat mengenal pasti kecenderungan belia orang asli dalam bidang pekerjaan sebelum ditawarkan tempat bagi menjalani latihan.

"Selepas latihan selama tiga bulan, mereka ditempatkan di agensi pekerjaan bersesuaian dengan tawaran gaji menarik dan pelbagai kelebihan lain.

"Sebanyak 19 kursus ditawarkan pada siri jelajah PLKK kali ini merangkumi bidang kemahiran minyak dan gas, kursus kecantikan, sektor perhotelan, dan pengendalian jentera berat," katanya.