500 Orang Asli Pasir Linggi, Pos Lebir hadapi masalah air

Amoi menunjukkan botol air yang digunakannya bagi menyimpan air ekoran ketiadaan air untuk kegunaan harian di rumahnya di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir. - Foto Bernama
Amoi menunjukkan botol air yang digunakannya bagi menyimpan air ekoran ketiadaan air untuk kegunaan harian di rumahnya di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Kira-kira 500 penduduk Orang Asli di kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang Pos Lebir, dekat sini mengalami masalah ketiadaan air sejak tiga minggu lalu.

Penduduk mendakwa masalah tersebut berpunca daripada bekalan takungan air tandak yang kering berikutan cuaca panas menyebabkan bekalan tidak mencukupi untuk kegunaan harian mereka.

Penduduk, Amoi Latif, 55 berkata, keadaan tersebut memaksa mereka untuk memunggah air sungai setiap hari yang terletak sejauh lebih 500 meter dari kawasan penempatan.

"Sudah tiga minggu kami berhadapan masalah ketiadaan air pada siang hari dan hanya pada waktu malam sekitar jam 12 atau 1 pagi baru ada air.

"Pada waktu tengah malam, kami biasanya menadah air untuk keperluan memasak, tetapi ia tetap tidak mencukupi kerana tidak mempunyai tong yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, masalah tersebut dilihat semakin ketara berikutan pertambahan penduduk, namun kolam takungan air tandak masih tidak dinaik taraf mengikut keperluan penggunaan penduduk.

"Ada penduduk yang terpaksa berjalan sehingga satu jam untuk memunggah air, malah terpaksa mandi di Sungai Lebir yang keruh kerana tiada pilihan.

"Takungan air tandak sudah tidak cukup untuk keperluan kami seramai hampir 500 penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mereka mengambil perhatian serius terhadap permasalahan yang dialami oleh komuniti Orang Asli di dua kampung berkenaan.

"Kita (akan) bincang kaedah bagaimana atau antaranya memperbaiki tandak (atau) memperbesarkan kolam tandak air.

"Saya akan cuba membawa permohonan mereka melalui Jabatan Sumber Air Kelantan untuk sama-sama kita tengok bagaimana cara memberi bantuan supaya isu air ini dapat kita selesaikan,” katanya. - Bernama