Petronas taja RM1.5 juta projek ternak kupang orang asli

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Ternakan kupang bakal menjadi sumber pendapatan sampingan baharu sekitar RM200 sebulan kepada 100 nelayan dari lima buah kampung orang asli di Pasir Gudang.

Program Pemulihan Mata Pencarian Petronas yang telah bermula Mac lalu itu dijangka boleh dituai September atau Oktober ini.

Lima kampung tersebut ialah Kampung Pasir Salam, Kampung Teluk Kabung, Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai dan Kampung Teluk Jawa.

Ketua Pemegang Pihak Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC), Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, program tanggungjawab sosial korporat bernilai RM1.5 juta itu mensasarkan kumpulan nelayan yang terjejas susulan projek yang dijalankan di perairan Pengerang.

"Dulu sekitar 30 hingga 40 nelayan di sini menjadikan perairan Pengerang sebagai kawasan menangkap ikan tapi kerana faktor keselamatan kawasan itu kini dilarang.

"Jadi dengan kerjasama pelbagai pihak dan kajian selama dua bulan kami yakin projek ternakan ini boleh berjaya lebih-lebih lagi orang asli di sini ada kepakaran (dalam menternak kupang) kerana telah ada yang menjalankan usaha ini sebelumnya," katanya pada sidang media pada Program Pemulihan Mata Pencarian Petronas Bersama Komuniti Orang Asli Seletar di Kampung Kuala Masai, di sini hari ini.

Katanya, dana RM1.5 juta itu juga digunakan untuk kajian kualiti air, latihan serta aktiviti-aktiviti berkaitan.

Menurutnya, inisiatif tiga tahun yang bermula Mac lalu itu menyaksikan sebanyak 3,000 tali perangkap menggunakan sistem rawai telah diturunkan dan baki 27,000 tali akan diturunkan penghujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan dalam tempoh tiga tahun kita akan turunkan 50,000 tali perangkap dan Mac lalu kita sudah pasang 3,000 tali.

"Jadi untuk fasa pertama ini 27,000 lagi tali akan diturunkan hujung tahun ikut keadaan cuaca dan baki untuk fasa kedua iaitu 20,000 lagi tali akan diturunkan dalam tempoh program ini juga," katanya.

Difahamkan Persatuan Nelayan Johor Selatan telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mengagihkan hasil ternakan kepada 100 peserta tersebut.

Katanya, usaha itu merupakan kerjasama antara Petronas, Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Perikanan Johor, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).