Kerajaan PH tak cukup peruntukan: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Alasan mahu bersikap adil kepada semua pihak hanya cubaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menutup kelemahan mereka kerana tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, akibat pendapatan negara berkurangan, skim bantuan penanaman semula menjadi 'mangsa' seterusnya selepas banyak lagi bantuan lain dihentikan pada Belanjawan 2019.

“Tindakan kerajaan PH amat dikesalkan lebih-lebih lagi di kala pekebun kecil yang mencecah hampir 650,000 orang kini terpaksa berhadapan dengan harga minyak sawit global yang rendah.

“Alasan diberikan Menteri Industri Utama, Teresa Kok tidak tepat kerana sekiranya kerajaan komited mahu membantu golongan ini, kesemuanya termasuklah pekebun kecil persendirian dan tersusun boleh menerima skim bantuan ini.

“YB menteri ini nampaknya cuba menutup kelemahan kerajaan yang tidak mempunyai peruntukan yang cukup disebabkan kekurangan pendapatan selepas pemansuhan GST tahun lepas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kecewa kerana pekebun kecil terbabit terpaksa berhutang di bawah skim pinjaman baharu yang dirancang oleh kerajaan PH.

“Sudahlah harga sawit rendah dan pekebun-pekebun kecil ini tidak boleh menyimpan banyak untuk tabung sara hidup mereka!. Bagaimana pula nasib mereka yang terpaksa berhutang dan kekurangan dana sara hidup untuk menyara keluarga sementara menunggu hasil pokok matang?,” soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi skim bantuan tanaman semula: Teresa Kok

Artikel Berkaitan:

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menyeru kerajaan PH khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meluluskan segera peruntukan khas dalam bentuk geran kepada semua pekebun kecil seluruh negara bagi meringankan beban mereka.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Teresa Kok berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).