247 PATI ditahan di kilang konkrit

Pegawai Imigresen Johor ketika membuat pemeriksaan dalam serbuan berkenaan. Gambar kecil: Baharuddin
Pegawai Imigresen Johor ketika membuat pemeriksaan dalam serbuan berkenaan. Gambar kecil: Baharuddin
A
A
A

SENAI - Seramai 247 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di sebuah kilang konkrit, di sini hari ini.

Serbuan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu menyaksikan kesemua PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen dan permit kerja yang sah.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, warga asing berkenaan yang bekerja sebagai pekerja am berasal dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan India.

“Hasil serbuan yang dilakukan, kita telah membuat pemeriksaan terhadap 559 pekerja warganegara asing berusia lingkungan 30-an hingga 50-an.

“Pihak kami kemudiannya mendapati seramai 247 pekerja asing terdiri daripada 231 warga Bangladesh, enam warga Pakistan, sembilan Indonesia dan satu warga India ini terbabit atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai operasi berkenaan, di sini hari ini.

Baharuddin berkata, seramai 115 anggota dan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri terlibat dalam operasi berkenaan.

Katanya, ini merupakan kali pertama kilang berkenaan diserbu selepas beberapa maklumat dan risikan telah dijalankan sebelum tindakan diambil.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengambil tempoh masa risikan yang secukupnya sebelum melakukan serbuan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Imigresen Johor turut mengambil tindakan ke atas seorang wanita tempatan iaitu sebagai majikan daripada bahagian sumber manusia kilang berkenaan.

“Majikan kilang berkenaan diambil tindakan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja sama ada satu atau lebih orang selain warga negara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki satu pas yang sah.

"Kita juga boleh menyiasat majikan ini mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya melanggar peruntukan akta dan kertas siasatan akan dibuka terhadap majikan ini sekiranya didapati benar ada melakukan kesalahan," katanya.