PATI sembunyi dalam kebun sawit dicekup

Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar dicekup selepas bersembunyi dalam kebun kelapa sawit di Kampung Kubang Binjai, Pasir Mas pada Sabtu.
Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar dicekup selepas bersembunyi dalam kebun kelapa sawit di Kampung Kubang Binjai, Pasir Mas pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar dicekup selepas bersembunyi dalam kebun kelapa sawit di Kampung Kubang Binjai, di sini pada Sabtu.

Dalam serbuan jam 6.30 petang itu sepasukan anggota polis dari Balai Bakong telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Hasil soal siasat, kesemua PATI mengaku telah masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah dengan menyeberangi Sungai Golok menaiki sampan.

"Mereka mendedahkan tujuan masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kesemua tangkapan direman selama 14 hari bermula 20 Mei.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.