Permohonan mySalam ditolak, ini jawapan kementerian

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes seorang pemandu lori yang penghidap kanser kolon tahap empat yang ditolak permohonan Perlindungan Nasional B40 mySalam (mySalam) kerana pesakit itu tidak menghantar salinan laporan perubatan daripada hospital kerajaan.

Kementerian Kewangan berkata, bagaimanapun Great Eastern Holdings mahupun Great Eastern Takaful Berhad (GETB) bersedia membantu pesakit yang berusia 48 tahun itu bagi proses rayuan untuk mendapat faedah penyakit kritikal sebanyak RM8,000.

“Proses tuntutan untuk mySalam mudah dan jelas. Seorang pesakit yang telah disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal di hospital kerajaan, universiti atau tentera di Malaysia boleh menghantarkan laporan perubatan kepada mySalam untuk layak mendapatkan manfaat wang sebanyak RM8,000.

“Kes yang disebarkan baru-baru ini tentang tuntutan penyakit kritikal yang telah ditolak daripada seorang pemandu lori berusia 48 tahun dengan kanser kolon tahap 4 adalah kerana beliau tidak menghantar salinan laporan perubatan daripada seorang doktor hospital kerajaan. GETB bersedia untuk membantu proses rayuan beliau untuk mendapat faedah penyakit kritikal sebanyak RM8,000,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Jeyakumar Devaraj melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis, beliau didatangi oleh seorang pemandu lori yang menghidap kanser usus tahap 4 dan berada dalam masalah kewangan yang sangat teruk.

Jeyakumar menjelaskan, beliau membantu pesakit itu membuat permohonan mySalam tetapi selepas seminggu, permohonan itu tidak berjaya berdasarkan mesej aplikasi WhatsApp yang diterima; “Dukacita dimaklumkan bahawa tuntutan penyakit kritikal anda telah ditolak disebabkan: Kemasukan hospital bukan kerajaan. Salah satu syarat tuntutan adalah penyakit mestilah didiagnosis di hospital kerajaan”.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menegaskan skim mySalam tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana syarikat insurans swasta.

“Semua premium yang dibayar kerajaan, jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam.

Artikel Berkaitan:

“Harus ditekankan semula bahawa tiada unsur keuntungan bagi GETB melalui skim mySalam. Oleh itu, tiada insentif untuk GETB sebagai pengurus takaful mySalam untuk tidak mengeluarkan bayaran bagi mana-mana tuntutan yang layak,” katanya.

Skim mySalam yang bermula 1 Januari dilancarkan secara rasmi oleh Dr Mahathir di Kementerian Kewangan pada 24 Januari lalu dan penerima B40 yang layak boleh membuat tuntutan bermula 1 Mac.

MySalam menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).

Melalui skim ini, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.