Proton, UEM Edgenta kerjasama urus tenaga

No Image Caption
A
A
A

PENGELUAR kereta nasional, Proton, bekerjasama dengan UEM Edgenta Bhd, bagi menguruskan insiatif keberkesanan tenaganya, Kontrak Prestasi Tenaga (Energy Performance Contract) (EPC), di dua pusat kemudahannya untuk tempoh tujuh tahun.

Menurut kenyataan bersama, Proton dan UEM Edgenta hari ini, EPC berkenaan dilaksanakan di Pusat Kecemerlangan (COE) Proton di Sime UEP Industrial Park dan kilang pengeluaran Tanjung Malim.

EPC itu akan memberikan kecekapan tenaga yang membolehkan Proton mengurangkan minimum 30 peratus jumlah penggunaan tenaga di COE Proton dan 10 peratus jumlah penggunaan tenaga di kilang Tanjung Malim.

Ini membolehkan pengurangan sebanyak 4,800 kilogram pelepasan gas rumah hijau setahun dan penjimatan tidak kurang daripada RM3.0 juta setahun, kata syarikat berkenaan.

Inisiatif pengoptimaan itu termasuk pengubahsuaian pencahayaan, penggantian sistem penyejuk, pemasangan dan pengoptimaan sistem udara pemampat serta pemasangan sistem pengawasan tenaga berasaskan Awan dan Objek Rangkaian Internet di kedua-dua kemudahan berkenaan.

Ia termasuk penyelenggaraan dan perkhidmatan yang komprehensif terhadap kesemua peralatan di bawah kontrak berkenaan.

Sebagai tambahan kepada faktor alam sekitar, inisiatif ini juga dijangka mengurangkan kos operasi keseluruhan Proton sebaik pengeluar kereta itu meningkatkan jam operasi berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengeluaran kereta yang akan bermula tahun depan.

“Satu daripada prinsip utama Industri 4.0 adalah kepentingan membuat sesuatu yang lebih baik sambil menjadikan sesuatu itu lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini bukan sekadar membolehkan Proton berkembang dengan cara yang positif melalui pengembangan kilang kami, juga sebagai pembangunan produk, tetapi juga membenarkan kami melakukannya dengan cara di mana kami mengurangkan keseluruhan kesan karbon,” kata ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Pengarah urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican pula menambah, konsep berkongsi penjimatan EPC membantu syarikat mengatasi komitmen modal awal dengan keputusan lebih pantas. - Bernama