Polis kesan pemandu kereta Proton pandu secara berbahaya

Tangkap layar video tular kereta Proton yang memandu secara berbahaya di Jalan Sengkang-Inas.
Tangkap layar video tular kereta Proton yang memandu secara berbahaya di Jalan Sengkang-Inas.
A
A
A

KULAI - Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis Proton yang memandu secara berbahaya sehingga bergesel dengan sebuah kereta Mitsubishi di Jalan Sengkang-Inas sebagaimana tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian kemalangan yang dipercayai berlaku pada jam 5 petang Khamis itu.

"Siasatan dilakukan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton dari arah bertentangan telah masuk ke laluan kereta Mitsubishi yang sedang bergerak lurus menghala ke Bandar Tenggara.

"Akibat kejadian itu kereta Mitsubishi telah bergesel, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beng Yeow berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah kereta Proton yang dipandu berada di belakang sebuah lori dalam cubaan memotong namun tidak berjaya.

Kereta tersebut kemudiannya bergesel dengan sebuah kereta Mitsubishi di laluan bertentangan dan terus berlalu pergi.