Saranan perkenal kaligrafi kaum lain boleh dipertimbang: Dr Maszlee

Dr Maszlee bercakap kepada media selepas menyempurnakan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-46, di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Dr Maszlee bercakap kepada media selepas menyempurnakan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-46, di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan saranan memperkenalkan seni tulisan (kaligrafi) kaum lain sebagai sukatan pelajaran di negara ini sebagai perkara yang boleh dipertimbangkan.

Menurutnya, perkara itu menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam pendidikan seni juga kita menitik beratkan kesenian pelbagai budaya dari pelbagai etnik di Malaysia.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan beberapa editor akhbar Cina dan kita dah bincang secara terperinci dengan mereka menjelaskan apa yang dilakukan kerajaan agar pembelajaran khat tidak membebankan kepada murid dan guru,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-46, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan media sama ada kerajaan sedia memperkenalkan kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina di sekolah kebangsaan.

Ia rentetan maklum balas masyarakat Tionghua berkaitan keputusan muktamad kerajaan memasukkan seni khat dan tulisan jawi dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan.

Terdahulu media melaporkan isu berkenaan turut disuarakan oleh beberapa cendekiawan persatuan Cina yang dilaporkan menyarankan setiap aliran sekolah di Malaysia saling mempelajari seni tulisan antara kaum lain.

Cadangan berkenaan dikatakan telah ditimbulkan dalam pertemuan Dr Maszlee bersama beberapa pemimpin persatuan Cina pada 1 Ogos lalu.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di sekolah vernakular bermula tahun depan adalah kekal.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pendidikan sebelum itu menyatakan pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Kerajaan turut memberi jaminan akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan khat, tulisan jawi di sekolah boleh diteruskan: PM