Pelajar orang asli Jahai makin yakin, berani

Abdul Halim (dua dari kanan) bersama wakil LeapED Services, guru serta sebahagian pelajar terlibat menjayakan Mini Festival Jahai di sini kelmarin.
Abdul Halim (dua dari kanan) bersama wakil LeapED Services, guru serta sebahagian pelajar terlibat menjayakan Mini Festival Jahai di sini kelmarin.
A
A
A

JELI - Pelajar orang asli Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli sebelum ini lebih selesa berada dalam kelompok sendiri dan melakukan aktiviti hanya sesama mereka sahaja.

Bagaimanapun, sejak Pembelajaran Berasaskan Projek yang diperkenalkan LeapED Services melalui Program Sekolah Amanah September lalu, perubahan ketara berlaku dalam kalangan pelajar berkenaan.

Pengetuanya, Abdul Halim Ibrahim berkata, satu anjakan berjaya dilakukan apabila pelajar orang asli kini lebih yakin dan berani untuk menonjolkan kelebihan dimiliki.

"Kalau dulu takut-takut, malu-malu bila ditanya dan disapa tapi hari ini kita melihat mereka bukan lagi pelajar dulu.

"Sebaliknya nampak ada keyakinan untuk tampil di khalayak selain mampu buat apa yang pelajar lain lakukan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada majlis pelancaran Mini Festival Jahai di perkampungan orang asli Sungai Rual di sini kelmarin.

Abdul Halim berkata, ia satu pencapaian menggembirakan banyak pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan jabatan berkaitan yang ingin melihat perubahan dalam kalangan pelajar terlibat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk mini festival berkenaan berkata, ia melibatkan anak- anak orang asli di perkampungan Sungai Rual yang merupakan suku kaum Jahai.

Katanya, festival yang secara keseluruhan dikendalikan semua 58 pelajar orang asli sekolah itu bertujuan berkongsi kejayaan dengan ibu bapa dan pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang kita laksanakan hari ini termasuk persembahan, demonstrasi masakan, persiapan tempat dan pameran dikendalikan mereka sepenuhnya dan guru-guru bertindak sebagai pemantauan," katanya.