Orang Asli bantah tanah rizab jadi Tanah Kesultanan

Kira-kira 200 Orang Asli berkumpul di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar bagi menyerahkan memorandum bantahan cadangan meletakkan tanah rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan.
Kira-kira 200 Orang Asli berkumpul di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar bagi menyerahkan memorandum bantahan cadangan meletakkan tanah rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dianggarkan lebih 200 penduduk Orang Asli dari seluruh Johor berhimpun membantah cadangan meletakkan tanah rizab Orang Asli di negeri ini di bawah kategori Tanah Kesultanan.

Bantahan bermula pada jam 10 pagi pada Isnin, di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar berlaku secara aman dengan kawalan ketat anggota polis.

Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor, Dolah Tekoi berkata, memorandum bantahan turut diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang diterima oleh Setiausaha Sulit 2, Mohamad Iskandar Omar.

Jelasnya, mereka bimbang sekiranya cadangan tersebut diteruskan, masyarakat Orang Asli akan dianggap sebagai 'penumpang' selain boleh dihalau pada bila-bila masa.

"Bantahan ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya hanya mempertahankan hak kami. Kami masih selesa dengan sistem lama iaitu tanah Orang Asli diletakkan di bawah sistem rizab biasa, iaitu di bawah Akta 134 dan Kanun Tanah Negara.

No Image Caption

"Terdapat 18,000 orang masyarakat Orang Asli di Johor terdiri daripada suku kaum Jakun, Temuan, Seletar, Duanu, Orang laut antaranya di Mersing, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian," katanya selepas mengadakan bantahan.

Menurut Dolah, memorandum bantahan yang diserahkan itu turut mengandungi cadangan dan kertas konsep pengurusan tanah adat selain tandatangan Orang Asli daripada 40 buah kampung di negeri ini.

"Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat Orang Asli yang bekerjasama dengan pihak luar untuk mengeksploitasi tanah kami, hukumlah orang. Bukannya menghukum kami semua melalui cara ini.

"Kami akan bawa isu ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua minggu lagi. Isu ini penting perlu tindakan segera kerajaan.

"Sekiranya ada pemintaan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk berjumpa, kami sedia untuk bertemu baginda," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Tereh, Ramli Yusof berkata, masyarakat Orang Asli mengusahakan tanaman getah, kelapa sawit, pisang dan tebu sebagai mata pencarian.

Dolah (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Mohamad Iskandar di hadapan Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar pada Isnin.
Dolah (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Mohamad Iskandar di hadapan Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar pada Isnin.

"Kita ada tanah yang telah digazetkan oleh kerajaan tetapi kemungkinan tanah itu juga akan dirizabkan sebagai Tanah Kesultanan. Pada saya itu tidak perlu kerana kita sudah ada akta yang sudah melindungi kita," katanya.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencadangkan supaya tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah-tanah tersebut menjadi lebih terbela di bawah enakmen tersedia ada.