Polis Pasir Mas rampas dadah bernilai RM18.2 juta

Abdullah (dua dari kiri) bersalaman dengan penduduk selepas melancarkan program Kampung Angkat di Mukim Slow Machang Peringkat Pasir Mas hari ini.
Abdullah (dua dari kiri) bersalaman dengan penduduk selepas melancarkan program Kampung Angkat di Mukim Slow Machang Peringkat Pasir Mas hari ini.
A
A
A

PASIR MAS - Polis daerah ini berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan berjumlah RM18.2 juta sepanjang operasi dijalankan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, daripada jumlah tersebut, pil kuda menjadi penyumbang terbesar kepada rampasan itu.

"Kejayaan itu melonjakkan lagi semangat anggota polis untuk terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke negeri ini.

"Dadah merupakan salah satu 'musuh' yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara jika penyalahgunaan bahan itu tidak dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Kampung Angkat di Mukim Slow Machang Peringkat Pasir Mas, di sini hari ini.

Abdullah berkata, kejayaan itu turut dipacu oleh komitmen dan kerja keras anggota polis selain penyaluran maklumat daripada orang ramai.

Beliau sehubungan itu turut berharap, masyarakat terus memainkan peranan dengan membantu polis menyalurkan maklumat berkaitan dadah.

Mengulas mengenai pelancaran kampung angkat, Abdullah berkata, program berkenaan turut menjadi ‘senjata’ baharu polis dalam usaha membanteras jenayah di peringkat akar umbi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kampung angkat turut menjadi serampang dua mata dalam usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Melalui program ini, kita akan membuat rondaan berkala bagi mewujudkan persekitaran selamat di kawasan kampung-kampung terlibat.

"Kita juga akan berinteraksi dengan tujuan untuk mewujudkan hubungan dua hala antara polis dengan penduduk bagi membolehkan mereka lebih 'selesa' bersama kami," katanya.

Abdullah berkata, selain Mukim Slow Machang, program itu telah diperluaskan ke Kampung Banggol Kulim di Rantau Panjang.

"Di masa akan datang, lebih banyak lagi kawasan yang kita akan jadikan kampung angkat," katanya.