Rwanda tutup sempadan ekoran penularan Ebola

Kakitangan kesihatan memeriksa tubuh seorang remaja lelaki di bandar Goma.
Kakitangan kesihatan memeriksa tubuh seorang remaja lelaki di bandar Goma.
A
A
A

KIGALI - Rwanda menutup kawasan barat negara itu yang bersempadan dengan Republik Demokratik Congo atas kebimbangan terhadap penularan wabak Ebola di Kinshasa.

Menurut Menteri Luar, Olivier Nduhungirehe, keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa kesihatan Congo mengumumkan kes jangkitan terbaharu Ebola di bandar Goma yang berhampiran sempadan Rwanda.

Dalam perkembangan terbaharu, seorang bayi perempuan berusia 12 bulan menjadi pesakit ketiga disahkan positif Ebola di bandar padat Goma di Republik Demokratik Congo.

“Saya telah dimaklumkan tentang satu lagi kes Ebola di pusat rawatan Goma Ebola. Bayi tersebut ialah anak pesakit kedua yang meninggal dunia awal minggu lalu.

“Vaksinasi sudah dilancarkan di pusat kesihatan Kiziba untuk mengurangkan rantaian penularan. Kakitangan perubatan dan mereka yang bersentuhan dengan pesakit adalah keutamaan di bawah program vaksin itu,” kata Ketua Penyelaras, Aruna Abedi di North Kivu di wilayah teruk terjejas sejak wabak itu menular pada Ogos tahun lalu.

Selain itu, seramai 15 pesakit turut dikuarantin di wilayah South Kivu yang sebelum ini bebas Ebola.

Kematian pertama akibat Ebola di Goma, sebuah bandar didiami lebih dua juta penduduk telah mencetuskan kebimbangan selepas ia dilaporkan pada 16 Julai lalu.

Sehari selepas itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai ‘kecemasan kesihatan awam bagi kebimbangan antarabangsa’, langkah yang bertujuan untuk meningkatkan respons global. - AFP

Artikel Berkaitan: